Isnin, 8 Julai 2019 | 2:35pm
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Pemimpin Kerajaan Sabah sedia isytihar harta

KINABATANGAN: Pemimpin kerajaan negeri bersedia mengisytiharkan harta mengikut usul yang diluluskan Dewan Rakyat, minggu lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, berkata ia perlu berikutan rakyat sudah dikejutkan dengan pelbagai isu rasuah sebelum ini.

“Rakyat sudah trauma dengan isu berkenaan dan akhirnya timbul cadangan supaya pemimpin mengisytiharkan harta masing-masing.

“Bagi pimpinan Kerajaan Sabah, jika itu memberikan kebaikan, kami tiada halangan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pecah Tanah Tapak Cadangan Pejabat Daerah Kecil Sukau di Dataran Tamu Sukau, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman.

Sementara itu berhubung perkembangan lain, Jaujan berkata, kerajaan negeri sudah mewujudkan dasar baharu meluluskan permohonan pembangunan dalam tempoh 24 jam.

“Namun, ia hanya untuk pelan pembangunan berkaitan pembinaan perumahan dan bangunan komersial.

“Pihak pemohon perlu datang bersama dokumen yang lengkap dan kita akan luluskan dalam tempoh 24 jam. Bagaimanapun, ia perlu memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, ia berikutan banyak pelan pembangunan sebelum ini mengambil masa lama untuk mendapatkan kelulusan.

“Ada yang sudah 10 tahun tetapi masih tidak lulus. Oleh itu, kita mahu ia disegerakan.

“Kita juga turunkan kuasa kelulusan pelan pembangunan ini kepada peringkat bahagian dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Berita Harian X