Isnin, 8 Julai 2019 | 3:51pm
Fatimah bersama penerima sumbangan pada Majlis Sentuhan Kasih dan Ramah Mesra Bersama Warga Emas Daerah Tatau, Bintulu. - NSTP/Erika George

Lebih 10,000 bayi sudah mendaftar EFS

BINTULU: Seramai 10,535 bayi di negeri ini yang dilahirkan antara 1 Januari hingga 30 Jun lalu, sudah mendaftar untuk menerima inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS) disediakan kerajaan negeri berjumlah RM1,000 bagi setiap kelahiran.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata jumlah berkenaan membabitkan 63.85 peratus daripada 17,874 kelahiran dicatatkan di negeri ini dalam tempoh itu dengan 16,500 adalah bayi berstatus ‘K’, iaitu anak jati Sarawak.

Beliau berkata, Bahagian Kuching mencatat jumlah pendaftaran EFS tertinggi, iaitu 4,048, diikuti Sibu (1,953), Miri (1,477), Bintulu (634), Sarikei (492), Mukah (412), Sri Aman (388), Limbang (360), Betong (236), Kapit (206), Serian (185) dan Samarahan (144).

“EFS adalah bantuan RM1,000 untuk setiap anak kelahiran Sarawak bermula tahun ini tanpa mengira bangsa, agama atau status sosioekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sentuhan Kasih dan Ramah Mesra Bersama Warga Emas Daerah Tatau anjuran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cawangan Tatau di Pusat Khidmat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Tatau, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, inisiatif EFS diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, pada awal tahun ini khusus bagi membantu meringankan beban ibu bapa membiayai kos anak melanjutkan pelajaran nanti kerana dana itu hanya akan dikeluarkan apabila penerimanya mencapai umur 18 tahun.

“Bagi kelahiran di Sarawak, pendaftaran EFS boleh dibuat di kesemua 52 cawangan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak. Jika kelahiran berlaku di negeri lain di Malaysia, borang pendaftaran hendaklah dikemukakan ke ibu pejabat JPN.

“Bagi warga Sarawak di luar negara pula, kelahiran anak mereka perlu didaftar di pejabat Kedutaan Malaysia bagi mengesahkan ibu bapa memilih kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka sebelum borang pendaftaran dikemukakan ke ibu pejabat JPN Sarawak,” katanya.

Berita Harian X