Selasa, 9 Julai 2019 | 2:51pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua,kiri) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh yang baharu, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (kiri) pada sidang media pada sesi kunjungan hormat Datuk Bandar dan penyerahan surat lantikan di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto BERNAMA

MB harap Ahmad Suaidi ulangi kejayaan MBI

IPOH: Kerajaan Perak menaruh harapan besar terhadap Datuk Bandar Ipoh yang baharu, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, mengulangi kejayaan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik dengan mendapat penarafan lima bintang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kali terakhir Bandaraya Ipoh mendapat pengiktirafan itu tiga tahun lalu menerusi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT).

“Saya amat yakin kepemimpinan Datuk Bandar (Ipoh) yang baharu bersama pasukan kita yang berpengalaman di bandar raya ini, tidak susah untuk kita sekali lagi mendapat penarafan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima menerima kunjungan Ahmad Suaidi di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ahmad Suaidi, 49, yang sebelum ini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu berkuatkuasa 1 Julai lalu, namun hanya memulakan tugas secara rasmi di MBI hari ini.

Beliau yang fasih berbahasa Jepun menggantikan Datuk Zamri Man yang dipendekkan perkhidmatannya hingga 17 Februari kerana masalah kesihatan.

Ahmad Faizal berkata, sempena ulang tahun ke-30 kerjasama antara Fukuoka, Jepun dengan Ipoh, beliau mahu Ahmad Suaidi terus menjalin hubungan baik antara kedua-dua bandar raya berkenaan.

Katanya, beliau yang turut melawat Fukuoka April lalu, dijangka menerima kunjungan Datuk Bandar Fukuoka penghujung tahun ini dan akan mengadakan perbincangan hubungan baik kedua-dua bandar raya itu.

“Antara yang akan dibincangkan termasuk pertukaran pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke Fukuoka bagi berkongsi pengalaman mengenai pentadbiran PBT.

“Saya melihat antara program baik yang dilaksanakan di bandar Fukuoka termasuk berkaitan dengan perkhidmatan warga emas yang sangat berkesan di sana,” katanya.

Berita Harian X