Selasa, 9 Julai 2019 | 6:34pm
TIMBALAN Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid (tiga dari kanan) dan Ahmad Termizi Mahmud, Pengurus Besar, Pengurusan Jenama, UFL Sdn Bhd ( kanan), Muhammad Fauzi Ahmad, Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd (dua dari kiri) melepaskan spesis patin utk Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019 di Taman Tasik Ampang Hilir. - Foto Ihsan DBKL

Taman Tasik Ampang jadi tumpuan kaki pancing Ahad ini

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh bulan tanpa sebarang penganjuran di Taman Tasik Ampang, kira-kira 1,000 kaki pancing dijangka berentap dalam Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Nazam Harun, berkata pertandingan itu adalah siri kelima selepas tujuh bulan tiada pertandingan anjuran DBKL di tasik berkenaan.

Katanya, aktiviti sihat bertemakan `Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera’ ini sentiasa dinantikan pemancing untuk hadir memancing sambil beriadah bersama keluarga.

“Pertandingan kali ini menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM20,000 iaitu juara akan membawa pulang RM6,000, diikuti RM2,000 untuk naib juara dan pemenang tempat ketiga memperoleh RM1,000.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 80 menerima RM100 seorang manakala tempat ke-81 hingga 100 menerima RM50 seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nazam turut melepaskan lebih satu tan pelbagai spesies ikan di tasik berkenaan, hari ini, antaranya patin yang dianggarkan seberat empat hingga lima kilogram (kg) seekor.

Pada penganjuran kali ini, DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang yang berjaya mendaratkan ikan keli iaitu juara bakal menerima wang tunai RM300, kedua RM200, ketiga hingga ketujuh RM100 dan tempat kelapan hingga ke-10, menerima RM50.

Turut dijangka memeriahkan program berkenaan adalah rakan strategik bersama DBKL iaitu Oyoshi (Perasa Sakura), Igloo-UFL dan Pure Fishing Malaysia Sdn Bhd.

“Hampir tujuh bulan tiada pertandingan di sini. Jadi, ia waktu terbaik untuk kaki pancing menyerbu Tasik Ampang Hilir yang memiliki keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk patin, tongsan, rhu dan toman dengan berat antara lapan hingga 20 kg menanti kaki pancing,” katanya.

Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini, bermula jam 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Maklumat lanjut, layari laman facebook, JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-2667011 dan 012-2846811.

Berita Harian X