Rabu, 10 Julai 2019 | 1:34pm
Kesesakan di Jalan Tun Razak, pagi tadi.
Kesesakan di Jalan Tun Razak, pagi tadi.

Aliran trafik laluan utama di KL terjejas sejak awal pagi

KUALA LUMPUR: Akibat paip bawah tanah pecah di hadapan bangunan Intermark di Jalan Tun Razak, aliran trafik di beberapa laluan utama yang menuju ke jalan itu terjejas sejak awal pagi tadi.

Kesesakan teruk dilaporkan berlaku dari arah Lebuhraya Mahameru menuju ke Jalan Tun Razak, Genting Klang menuju ke bulatan Pahang dan dari Lebuhraya Duta Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menuju ke Jalan Tun Razak arah Selatan dan sepanjang Jalan Semarak menuju ke Jalan Tun Razak.

Sehingga jam 1 tengah hari tadi, trafik dari Bulatan Pahang hingga ke persimpangan Jalan Ampang dilaporkan masih sesak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten komisioner, Zulkefly Yahya, berkata anggota polis telah ditempatkan di lokasi terbabit bagi mengawal trafik.

“Jalan di mana paip itu pecah masih boleh digunakan namun satu lorong ditutup bagi memberi laluan untuk kerja membaiki paip pecah itu.

“Lorong ini akan ditutup sehingga baik pulih selesai dijalankan Syarikat Bekalan Air Selangor,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Zulkefly berkata beberapa langkah mitigasi akan diambil termasuk pemantauan trafik dan hebahan maklumat terkini melalui radio serta papan tanda elektronik ITIS. - BERNAMA

Berita Harian X