Rabu, 10 Julai 2019 | 2:28pm
TIMBALAN Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah ketika sidang media di Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Antarabangsa kali ke-6, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
TIMBALAN Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah ketika sidang media di Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Antarabangsa kali ke-6, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Projek pengukuhan talian elektrik pastikan bekalan lebih baik

KOTA KINABALU: Penduduk negeri ini bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih baik menerusi pelaksanaan projek pengukuhan talian elektrik yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata projek itu yang sedang dilaksanakan disasar untuk menambah baik kualiti pengagihan bekalan elektrik di seluruh negeri.

Katanya, ia adalah antara hasil yang dapat dicapai menerusi penubuhan jawatankuasa pembangunan elektrik yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

“Ini kali pertama dalam kerajaan baharu, mesyuarat jawatankuasa pembangunan untuk elektrik dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri dan menteri. Setakat ini sudah dua kali mesyuarat untuk sama-sama ambil keputusan dan merancang apa yang terbaik untuk Sabah, apa pelan seterusnya dan apa lagi yang perlu dibuat.

“Ia satu perkembangan yang bagus yang mana kerajaan negeri dilibatkan sama untuk membuat keputusan dalam pengurusan bekalan elektrik di Sabah dan kita memang sedang menjalankan beberapa projek untuk mengukuhkan talian elektrik di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Bioteknologi Antarabangsa Keenam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UMS, Prof Dr Marcus Japony dan Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Dr Zarina Amin.

Isnaraissah Munirah yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata projek penambahbaikan talian yang sedang dilaksanakan itu turut membabitkan kawasan pantai barat bertujuan menambah baik pengagihan bekalan.

Dalam hal lain, beliau berpendapat tiada masalah mengenai rancangan kerajaan negeri untuk meneruskan pembinaan Empangan Papar bagi mengatasi isu bekalan air jika ia dilaksanakan mengikut prosedur yang betul.

Bagaimanapun, katanya pihaknya tiada maklumat lanjut berhubung projek itu, termasuk mengenai penilaian kesan alam sekitar (EIA) selain menjelaskan ia lebih kepada bidang kuasa kerajaan negeri.

Terdahulu, dalam ucapannya, Isnaraissah Munirah berkata pihaknya mengambil beberapa inisiatif untuk melaksanakan 17 Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) yang digariskan untuk dicapai di negara ini menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, antara inisiatif itu ialah mewujudkan pelbagai pihak berkepentingan, struktur tadbir urus peserta, menjalankan kajian mengenai kesediaan data dan analisis jurang serta mewujudkan Halatuju SDG Kebangsaan sebagai panduan pelaksanaan Agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 dan SDG.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X