Rabu, 10 Julai 2019 | 5:04pm
Pemandangan di sekitar Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Taman Rimba Kiara: Kertas cadangan dibentang kepada Kabinet bulan depan

KUALA LUMPUR: Kertas cadangan projek pembangunan Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, akan dibentangkan kepada Kabinet untuk dimuktamadkan, bulan depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyerahkan kertas cadangan itu kepada beberapa kementerian lain untuk penelitian lanjut.

Selain itu, beliau berkata, ia sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AG) bagi penelitian dari aspek perundangan sebelum diserahkan semula kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk tindakan seterusnya.

“Apabila semua kertas cadangan itu dikembalikan kementerian berkenaan dalam tempoh dua minggu hingga sebulan lagi, ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Saya berharap isu pembangunan Taman Rimba Kiara dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa sebarang masalah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan kunci rumah kepada sebahagian daripada 60 pemilik Rumah Baiti Jannati sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini, hari ini.

Khalid mengulas perkembangan terkini projek pembangunan Taman Rimba Kiara yang mencetuskan kontroversi dan mendapat bantahan penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu.

Kontroversi tercetus apabila pada April 2017, DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang membabitkan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Media sebelum ini melaporkan penduduk mendakwa projek berkenaan akan mengambil separuh daripada keluasan tapak taman awam itu dan memusnahkan kawasan paling padat dengan pokok yang menjadi habitat kepada hampir 40 jenis burung tempatan serta migrasi.

Malah, komuniti rumah panjang yang menetap bersebelahan taman itu dilaporkan turut mendesak supaya mereka tidak dijadikan ‘kambing hitam’ dalam rancangan projek berkenaan, selain menuntut rumah mereka dibina di atas tapak asal tanpa memusnahkan taman awam terbabit.

Taman awam seluas hampir 11 hektar itu menjadi kawasan utama bagi penduduk sekitar beriadah dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Berita Harian X