Rabu, 10 Julai 2019 | 8:59pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini menerima Darjah Kebesaran Sikatuna yang membawa gelaran Datu daripada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto ihsan Royal Press Office

Sultan Johor terima Darjah Kebesaran Sikatuna dari Duterte

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini menerima Darjah Kebesaran Sikatuna yang membawa gelaran Datu daripada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Majlis pengurniaan darjah berkenaan berlangsung di Istana Malacanang, Manila, hari ini, sempena lawatan Sultan Ibrahim di atas jemputan peribadi Duterte.

Dalam satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada Duterte.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di Istana Malacanang pada jam 5 petang, sebelum menandatangani buku pelawat.

Sultan Johor kemudian disambut oleh Duterte dan bergambar bersama sebelum mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung hampir sejam.

Baginda bersama delegasi kemudian diraikan dalam satu majlis santapan malam bersama Presiden Filipina.

Berita Harian X