Khamis, 11 Julai 2019 | 2:57pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo melihat lampu jalan HPSV yang akan ditukarkan kepada LED di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad

RM75 juta tukar lampu jalan HPSV ke LED

GEORGETOWN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM75 juta bagi menukar lampu jalan jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) kepada diod pemancar cahaya (LED) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata RM40 juta daripada peruntukan itu akan digunakan bagi penukaran lampu jalan di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, sebanyak RM35 juta pula akan digunakan bagi tujuan sama di kawasan seliaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), manakala TNB akan menggunakan dana sendiri untuk pertukaran lampu jalan di bawah seliaan syarikat utiliti itu.

Sebanyak 17,542 lampu jalan dipasang di bahagian pulau dengan 10,407 unit di bawah seliaan MBPP, manakala selebihnya di bawah TNB. Bagaimanapun, 7,135 daripada lampu itu sudah ditukar kepada LED.

“Kerajaan negeri menyasarkan proses pertukaran keseluruhan lampu jalan jenis HPSV kepada LED di seluruh Pulau Pinang dapat diselesaikan menjelang 2022.

“Ini dijangka menjimatkan antara 50 hingga 60 peratus penggunaan elektrik serta ‘carbon footprint’ selain jangka hayat lampu LED lebih tinggi berbanding HPSV,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, A Rajendran serta Ahli Majlis MBPP, Azahari Aris dan Gerald Mak.

Terdahulu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyaksikan proses pertukaran lampu jalan jenis HPSV ke LED di Lebuh Mcnair di sini.

Sementara itu, Jagdeep berkata tiga lokasi di MPSP dikenal pasti bagi program penggunaan bekalan tenaga boleh diperbaharui (SARE) yang dijangka siap menjelang Oktober depan.

Kawasan berkenaan ialah Pejabat Cawangan MPSP dan Kompleks Sukan di Jalan Betik, Bukit Mertajam dan Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas.

“MBPP juga sudah mencadangkan 15 lokasi bagi tujuan sama dengan ia kini sedang di peringkat pertimbangan pihak TNB,” katanya.

Berita Harian X