Khamis, 11 Julai 2019 | 8:40pm
KAYU balak di kawasan POS Kemar Tasik Temenggor, Gerik. NSTP/Ihsan Penduduk Kampung Ralak

Guna feri bawa keluar balak di Hutan Simpan Temenggor bukan baharu

IPOH: Penggunaan feri atau phonton bagi membawa hasil hutan termasuk balak di Hutan Simpan Temenggor digunakan sejak tahun lalu sebagai pengangkutan untuk menyeberangi Tasik Bersia ke Matau Utama Lesen (tempat pengumpulan kayu) di Bersia, Gerik.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan negeri, laluan feri itu diwujudkan sejak awal 2018 dan bukannya semata-mata selepas pembinaan sekatan laluan oleh Orang Asli Sungai Papan dan Cenawing di Hutan Simpan Air Chepam, beberapa bulan lalu.

Katanya, tahun ini dua syarikat diberikan lesen oleh kerajaan negeri untuk pengusahasilan hutan yang memerlukan mereka menggunakan feri sebagai alat pengangkutan.

“Syarikat Ikhlas Galak Sdn Bhd diberikan lesen membabitkan kawasan seluas 80 hektar di Hutan Simpan Temenggor berkuat kuasa dari 1 Februari 2019 hingga 31 Julai ini dan status semasa kawasan lesen adalah sudah selesai kerja.

“Sebuah lagi premis adalah Syarikat Balak Dai-Mai Sdn Bhd juga membabitkan kawasan seluas 80 hektar dengan tempoh kuat kuasa lesen mulai 16 Mei 2019 hingga 15 November depan dan status semasa kawasan lesen adalah 40 peratus sedang diusaha hasil,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada aduan seorang pengguna Facebook semalam yang memuat naik status “Nekad punya pembalak dan perhutanan..apa cara sekali pun balak mesti keluar! Tak kisah la feri ini harga ratus ribu asalkan dapat melepasi dan tidak melalui jalan balak diblockade Orang Asli Sungai Papan dan Cinaweng.”

Menurut Jabatan Perhutanan Perak, perkampungan Orang Asli berhampiran dengan kawasan aduan adalah Kampung Sungai Rengat dan sepanjang aktiviti pengeluaran kayu, tiada bantahan dibuat oleh penduduk. - BERNAMA

Berita Harian X