Jumaat, 12 Julai 2019 | 10:50pm
Pengarah Projek, Mohd Faizal Izwan Mohamad Dan.
Pengarah Projek, Mohd Faizal Izwan Mohamad Dan.

Festival Wow Wild Bentong bantu promosi komuniti Orang Asli

BENTONG: Festival Wow Wild Bentong (WWB) yang berlangsung hari ini di Tapak Festival Bentong di sini diyakini mampu membantu mempromosikan masyarakat Orang Asli kawasan itu secara lebih meluas.

Pengarah Projek, Mohd Faizal Izwan Mohamad Dan, berkata inisiatif menganjurkan WWB timbul selepas mendapati komuniti Orang Asli khususnya di Parlimen Bentong kurang menerima pendedahan, bahkan ada pihak yang langsung tidak menyedari kewujudan mereka di daerah itu.

Beliau berkata, komuniti Orang Asli dari suku Temuan membentuk kira-kira 5 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk parlimen berkenaan.

"Ramai orang apabila disebut mengenai Parlimen Bentong, mereka tidak tahu langsung akan kewujudan masyarakat Orang Asli di sini. Bila diberitahu di sini ada lima peratus penduduk Orang Asli, semuanya terkejut," katanya kepada BH ketika ditemui di sini.

Faizal berkata, WWB mendapat sambutan dan penyertaan menggalakkan daripada komuniti berkenaan dan mereka tidak ketinggalan membabitkan diri dalam membuat segala persiapan.

"Dari mula lagi mereka kelihatan amat teruja dan ia terbukti menerusi kesungguhan masing-masing berlatih untuk persembahan, malah menganyam sendiri kostum bagi digunakan semasa persembahan," katanya.

Faizal yang juga Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam Parlimen Bentong berkata, WWB yang akan berakhir Ahad ini dan dianjurkan Persatuan Penggerak Hijau membabitkan pelbagai acara kegemaran ramai, termasuk aktiviti berkaitan durian.

"Antara yang sudah dirancang ialah jualan durian dengan harga runtuh, demonstrasi memasak berasaskan durian, penjualan produk dan lelongan durian.

"Lelongan durian ini amat istimewa kerana ia hanya untuk durian terbaik dan harga lelongan bermula dari RM5,000 sebiji,” katanya.

Beliau menarik perhatian, semua hasil lelongan ini seratus peratus akan disalurkan kepada Tabung Pendidikan Orang Asli Parlimen Bentong.

Turut diadakan adalah aktiviti berbentuk kekeluargaan dan keceriaan seperti pertandingan mewarna, pameran gerai makanan serta produk, persembahan karaoke, pertandingan modifikasi motosikal tercantik dan persembahan malam kebudayaan.

Dalam perkembangan berkaitan, WWB jelas Faizal adalah platform untuk komuniti Temuan di sini menonjolkan dengan lebih dekat kebudayaan dan resam kehidupan mereka yang amat unik.

Berita Harian X