Ahad, 14 Julai 2019 | 3:11pm
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah. - NSTP/Sairien Nafis
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah. - NSTP/Sairien Nafis

Kecekapan bomba elak kebakaran kilang bahan kimia merebak

PELABUHAN KLANG: Kecekapan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengawal kebakaran di sebuah kilang bahan kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah, di sini malam tadi berjaya mengelakkan ia daripada merebak ke kilang berhampiran.

Penolong Pengarah Operasi JPBM Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran 15 minit sejurus tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

“Kebakaran pada awalnya membabitkan sebuah kilang sahaja, kemudian merebak ke kilang bersebelahan dan kilang kitar semula di belakangnya yang menyimpan barang lusuh.

“Ketika memadamkan kebakaran, kami sedikit bimbang berikutan pemilik kilang bersebelahan memaklumkan mengenai tangki minyak di premisnya. Namun, Alhamdulillah kami berjaya kawal supaya tidak merebak ke situ.

“Sekarang kami sedang memadamkan sepenuhnya api yang masih ada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian terbabit, kilang kimia berkenaan musnah 80 peratus manakala kilang kitar semula dan kilang bersebelahan masing-masing mengalami kerosakan sebanyak 20 peratus dan 30 peratus.

Hafisham berkata, seramai 50 pegawai dan anggota termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“HAZMAT dipanggil memandangkan kilang terbabit berkaitan kimia dan kami dapat maklumat mengenai bau bahan kimia.

“Dalam masa 15 minit, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kilang bersebelahan yang menyimpan minyak kenderaan, kilang cat serta bahan mudah terbakar.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)yang terbabit operasi memadam kebakaran ini adalah BBP Pelabuhan Klang, BBP Andalas, BBP Sungai Pinang, BBP Telok Panglima Garang, BBP Rawang, BBP Kota Anggerik dan BBP KLIA serta bantuan lori tangki air dari Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran belum dapat dikenal pasti dan dalam siasatan memandangkan kerja pemadaman masih berjalan.

Berita Harian X