Ahad, 14 Julai 2019 | 5:06pm
Jeti perdagangan tukar barang milik LKIM di Kuala Linggi sedia ada akan diubah menjadi pelabuhan antarabangsa melalui projek KLIP. - NSTP/Hassan Omar

Projek KLIP: KM dirayu campur tangan untuk bela nasib nelayan

ALOR GAJAH: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat merayu campur tangan Ketua Menteri, Adly Zahari, berhubung cadangan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), dekat sini, yang didakwa bakal menjejaskan pendapatan 300 nelayan.

Pengerusinya, Mazelan Bakar, berkata ia penting bagi membolehkan nelayan menuntut pampasan daripada syarikat pemaju projek itu.

Katanya, ini berikutan syarikat berkenaan didakwa tidak menunjukkan minat berbincang dengan PNK Melaka Barat mengenai nasib nelayan terbabit akibat pelaksanaan KLIP kelak.

Beliau berkata, persatuan itu tidak mampu menghalang cadangan projek berkenaan diteruskan, tambahan pula ia bakal memberi pulangan kepada kerajaan negeri melalui caj ke atas pengurusan pelabuhan dan syarikat perkapalan yang beroperasi nanti.

“Kami tidak boleh menghalang kemajuan, termasuk KLIP yang dijangka meningkatkan perolehan kerajaan negeri.

“Namun, kami mahukan pembelaan kerajaan negeri yang mampu memberikan nasihat dan arahan kepada pemaju mengenai nasib nelayan yang hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Kami akan menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri untuk meminta kerajaan negeri campur tangan dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan empat Ahli Lembaga Pengarah persatuan itu di Kuala Sungai Baru, dekat sini, hari ini.

Hasil perbincangan itu, mereka sebulat suara bersetuju merangka memorandum berkenaan untuk diserahkan kepada Adly.

Mereka juga membincangkan hala tuju 300 nelayan yang dikatakan bakal terjejas dengan projek itu berikutan kemusnahan batu karang dan habitat pembiakan ikan.

Mazelan mendakwa, setakat ini, pemaju terbabit tidak pernah menyatakan hasrat mengadakan perbincangan dengan PNK Melaka Barat bagi melihat nasib nelayan yang dijangka berdepan kemerosotan hasil tangkapan apabila KLIP dilaksanakan.

“Dalam keadaan sekarang pun nelayan menghadapi kesukaran menangkap ikan kerana banyak kapal berlabuh, apatah lagi apabila pelabuhan bertaraf antarabangsa itu beroperasi kelak,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee, dilaporkan berkata projek KLIP dijangka bermula selewat-lewatnya September depan bagi menjadikan perairan Melaka Barat hab perdagangan serantau.

Norhizam berkata, pemaju projek itu bercadang mengambil alih Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedia ada yang berfungsi sebagai pelabuhan perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Malaysia dengan Indonesia sejak beberapa tahun lalu.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X