Isnin, 15 Julai 2019 | 2:07pm
KIM SHIN menyampai sijil penyertaan kepada penyelam yang menyertai operasi membersihkan sisa pukat yang tertanam di kawasan terumbu karang di Taman Negara Marin Miri-Sibuti di Miri. NSTP/Kandau Sidi

300 kilogram pukat diangkat keluar

MIRI: Lebih 300 kilogram pukat yang sebahagiannya menutupi permukaan terumbu karang di kawasan perairan Taman Negara Marin Miri- Sibuti, dikeluarkan dalam Ops Nemo.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata masalah lambakan pukat yang menutup permukaan terumbu karang di kawasan taman marin itu perlu diatasi bersama, termasuk agensi berkaitan.

“Keunikan hidupan marin yang ada di perairan utara Sarawak memainkan peranan penting bagi tarikan pelancong, khususnya aktiviti menyelam.

“Kita memerlukan lebih ramai sukarelawan dalam kalangan penyelam untuk terbabit sama menyertai kempen membersihkan pukat ditinggalkan nelayan di dasar laut,” katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan Penyelam di Dasar Taman Marin Miri Sibuti, di sini hari ini.

Ops Nemo dianjurkan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri serta agensi swasta yang terbabit secara langsung dengan aktiviti rekreasi skuba.

Kim Shin ketika mengulas lanjut, berkata kempen membersihkan dasar laut daripada pukat ditinggalkan nelayan memberi kesan signifikan bertujuan mengelak batu karang mati atau terjejas pertumbuhannya.

“Sekiranya dibiarkan pukat itu terus berada di dasar laut dan menutupi batu karang, ia berisiko mengakibatkan hidupan marin di kawasan berkenaan terjejas dan pupus,” katanya.

Katanya, masih banyak lagi kawasan terumbu karang di Taman Negara Marin Miri-Sibuti yang terjejas akibat pukat dan perlu dibersihkan.

Berita Harian X