Selasa, 16 Julai 2019 | 1:23pm
Presiden Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah, Lee Pun Yee (tengah) menggunakan perkhidmatan mesin kiosk sambil diperhati Timbalan Pengerusi MDPG, Ignatius Matayun (kanan) pada majlis pelancaran kemudahan itu di bangunan Majlis Daerah Penampang. - NSTP/Khairull Azry Bidin
Presiden Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah, Lee Pun Yee (tengah) menggunakan perkhidmatan mesin kiosk sambil diperhati Timbalan Pengerusi MDPG, Ignatius Matayun (kanan) pada majlis pelancaran kemudahan itu di bangunan Majlis Daerah Penampang. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Mesin kiosk, aplikasi MDPG e-services tingkat kecekapan Majlis Daerah Penampang

PENAMPANG: Majlis Daerah Penampang (MDPG) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf majlis yang pertama melaksanakan sistem pembayaran menggunakan mesin kiosk dalam usaha menaik taraf perkhidmatan PBT di negeri ini.

Perkhidmatan itu yang disediakan di Bangunan MDPG, di Dongongon, di sini, sejak 1 Mei lalu, setakat ini sudah menerima transaksi bernilai RM10,800, kebanyakannya bagi pembayaran cukai pintu, kompaun dan lesen.

Timbalan Pengerusi MDPG, Ignatius Matayun, berkata perkhidmatan berkenaan meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan MDPG, terutama bagi menangani masalah kesesakan di kaunter PBT, selain membolehkan urusan pembayaran dilakukan bila-bila masa.

Katanya, ia adalah perkembangan yang baik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pembayar cukai dan penduduk di daerah ini, selain persediaan ke arah menjadikan MDPG sebuah PBT bertaraf Majlis Perbandaran.

“Perkhidmatan ini masih baharu dan belum ramai yang mengetahuinya, jadi kita berharap dengan pendedahan mengenai kemudahan ini, lebih ramai pembayar cukai dan penduduk di daerah ini dapat memanfaatkannya,” katanya pada pelancaran kemudahan itu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah, Lee Pun Yee dan Eksekutif Kanan Teknologi Maklumat (IT) Menggaris IT Sdn Bhd, Abdul Razak Husin, yang membekalkan sistem kiosk pembayaran berkenaan.

Selain mesin kiosk, kini MDPG juga dilengkapi kemudahan e-perkhidmatan dikenali sebagai MDPG e-Services yang boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Playstore bagi pengguna telefon pintar atau laman sesawang https://services.mdppg.gov.my.

Ignatius berkata, perkhidmatan itu memberi kemudahan yang luas kepada orang ramai untuk mengakses perkhidmatan disediakan MDPG atau membuat pembayaran secara dalam talian pada bila-bila masa tanpa perlu ke pejabat PBT berkenaan.

“Perkhidmatan ini juga belum diketahui ramai walaupun diwujudkan sejak Januari lalu lagi, jadi kita berharap selepas ini bilangan pengguna secara dalam talian terus meningkat,” katanya.

Sejak diperkenalkan bermula 15 Januari tahun ini, perkhidmatan MDPG e-Services menerima sebanyak 236 transaksi pembayaran membabitkan jumlah sebanyak RM152,236.34.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, perkhidmatan kiosk pembayaran PBT disediakan Menggaris IT akan dikembangkan lagi ke daerah lain termasuk Majlis Daerah Beaufort (MDB) yang dijangka dilancarkan lusa, diikuti Majlis Daerah Putatan (MDPTN) dan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD).

Secara keseluruhan, katanya sehingga kini dua PBT sudah melaksanakan sistem itu iaitu MDPG dan Majlis Perbandaran Tawau (MDT).

“Di Tawau perkhidmatan kiosk pembayaran disediakan sejak tahun lalu lagi. PBT itu juga dilengkapi e-perkhidmatan termasuk untuk membuat aduan secara dalam talian.

“Bagi MDPG, perkhidmatan e-aduan belum disediakan kerana ia bergantung kepada kesediaan pihak MDPG memandangkan sistem itu perlu dipantau oleh kakitangan tertentu bagi membolehkan aduan yang disalurkan diambil tindakan,” katanya.

Berita Harian X