Rabu, 17 Julai 2019 | 3:08pm
TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ditemuramah pemberita berkaitan isu istana dan audit negara selepas menghadiri Mesyuarat EXCO di Kompleks Darul Naim. - Foto Zaman Huri Isa
TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ditemuramah pemberita berkaitan isu istana dan audit negara selepas menghadiri Mesyuarat EXCO di Kompleks Darul Naim. - Foto Zaman Huri Isa

Kelantan terima teguran Jabatan Audit Negara

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menerima teguran Jabatan Audit Negara mengenai Program Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) yang tidak mencapai objektif yang ditetapkan, kerana sasaran bagi menyedia dan menawarkan 5,000 unit dalam tempoh 2014 hingga 2018 tidak tercapai.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata teguran seperti itu dapat membantu membaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi.

Bagaimanapun katanya, berhubung teguran mengenai RMMK mungkin terdapat kekeliruan dalam pemahaman kerana rumah mampu milik bukan sahaja dilaksanakan oleh kerajaan, negeri sebaliknya membabitkan semua pihak seperti agensi swasta dan Kerajaan Pusat.

“Kerajaan negeri meletakkan sasaran 5,000 unit rumah mampu milik bukannya dibina oleh kerajaan negeri sahaja sebaliknya ia meliputi keseluruhan dibuat agensi serta Kerajaan Pusat.

“Sebab itu teguran Jabatan Audit adalah negatif sedangkan secara keseluruhan kita sudah melepasi sasaran 5,000 unit, termasuk di Kelochor, yang dibina Kerajaan Pusat,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Jabatan Audit Negara sebelum ini menegur tiga agensi kerajaan di Kelantan membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang menguruskan RMMK, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan (Pengurusan Skim Bantuan Am Al-Musa’adah) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK Sawit Sdn Bhd).

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 mendapati, secara keseluruhan mendapati RMMK tidak mencapai objektif yang ditetapkan kerana sasaran bagi menyedia dan menawarkan 5,000 unit RMMK dalam tempoh 2014 hingga 2018 tidak tercapai.

“Didapati prestasi program dari segi pencapaian output fizikal dan pencapaian ‘outcome’ hanya 160 unit (3.2 peratus) RMMK yang dapat disediakan dan ditawarkan,” katanya.

Laporan itu turut menyebut antara kelemahan yang dikenal pasti adalah peruntukan kewangan RMMK tidak dibelanjakan secara optimum, terma dalam Dasar RMMK iaitu syarat kuota dan levi bagi projek perumahan/bercampur tidak dimasukkan dalam syarat kelulusan kebenaran merancang, syarat sekatan/ moratorium tidak dikenakan dan projek yang sudah siap tidak dapat dijual kerana masih belum mendapat Certificate of Completion and Compliance (CCC).

Berita Harian X