Rabu, 17 Julai 2019 | 3:47pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kerajaan Negeri Sembilan ambil serius Laporan Ketua Audit Negara

SEREMBAN: Kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap setiap isu berkaitan pengurusan aktiviti dan kewangan jabatan serta agensi negeri yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebanyak 11 jabatan atau agensi negeri yang dijalankan Pengauditan Pengurusan Kewangan oleh Jabatan Audit Negara.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak lima jabatan mencapai tahap cemerlang manakala enam lagi mencapai tahap baik dan melepasi syarat.

“Tiada ketidakpatuhan yang serius terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

“Bagaimanapun tindakan penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan negeri di tahap cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mengulas mengenai teguran kerja membabitkan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS) yang gagal mencapai objektif ditetapkan, Aminuddin mengakui perkara itu berlaku.

Katanya, secara amnya penyenggaraan menyeluruh sesebuah kolam takungan bagi mencapai semua objektif memerlukan peruntukan sebanyak RM80,000 bagi sebuah kolam.

“Bagaimanapun berdasarkan peruntukan yang diperuntukkan setiap tahun, bilangan yang dapat dilaksanakan secara menyeluruh adalah terhad.

“Oleh itu, skop kerja penyenggaraan dipilih dan dirancang mengikut keutamaan bagi tujuan menyelesaikan aduan penduduk dan bagi membolehkan lebih banyak kolam diselenggara,” katanya.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, menegur kerja penyenggaraan Saliran Mesra Alam menerusi JPSNS yang gagal mencapai objektif ditetapkan kerana tidak dilaksanakan dengan cekap dan kaedah yang berkesan.

Menerusi laporan itu, walaupun sebanyak 281 kerja penyenggaraan dilaksanakan berbanding 45 yang disasarkan, bidang kerja yang dilaksanakan tidak menyeluruh dan gagal mengikut kekerapan seperti perancangan yang ditetapkan.

Berita Harian X