Khamis, 18 Julai 2019 | 11:47am
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Tingkat penguatkuasaan kekang pencerobohan bot nelayan asing

KUCHING: Pasukan petugas pelbagai agensi yang diterajui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perlu memperhebatkan ‘Ops Naga’ untuk menjaga kedaulatan sempadan laut di Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, berkata langkah drastik dan berkesan perlu diambil bagi bukan sahaja untuk menangani ancaman keselamatan tetapi juga terhadap pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam yang menjejaskan industri perikanan tempatan.

“Negara kita kehilangan sumber laut sehingga mencecah RM7 bilion setahun kerana dicuri nelayan asing yang menceroboh dan menggunakan kaedah yang menyalahi undang-undang di perairan kita.

“Itulah sebabnya kami menggesa supaya usaha diperhebatkan terutamanya di perairan sekitar Sarawak untuk menangani isu itu bagi kepentingan nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

’Ops Naga’ yang bermula sejak 2 Mei lalu dilaksanakan bagi mengesan dan menangkap bot nelayan asing di perairan negara dan sejak itu, kira-kira 80 bot nelayan asing ditahan.

Chieng Jen berkata, isu itu antara yang dibincangkannya bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong pada pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, baru-baru ini.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak berkata, ia adalah usaha pihaknya untuk meredakan kebimbangan nelayan tempatan yang terjejas akibat pencerobohan kapal nelayan asing yang semakin meningkat.

Beliau berkata, Mohamad Sabu memberikan tindak balas yang positif dan akan membangkitkannya kepada kabinet untuk memperluas serta meningkatkan operasi bagi memberikan jaminan keselamatan kepada nelayan tempatan di Sarawak.

“Mohamad Sabu juga komited untuk membincangkan isu itu dengan Menteri dari negara-negara jiran lain dalam Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang akan diadakan Oktober ini untuk menyelesaikan isu-isu tertentu seperti sempadan maritim yang dipertikaikan antara negara-negara, termasuk rondaan,” katanya.

Selain itu, Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin turut mencadangkan kepada Kementerian Pertahanan supaya meningkatkan semua aset Maritim yang sesuai dan moden termasuk menggerakkan pengimbas moden serta pengawasan ketenteraan UAV untuk memantau sempadan perairan terutama di Sarawak dan sempadan Laut China Selatan.

Berita Harian X