Jumaat, 19 Julai 2019 | 9:31am
Tiram. - Foto BERNAMA

Cabaran penyelam di sebalik hasil lumayan tiram Muar

MUAR: Sebut sahaja Muar, ramai yang akan mengingati mi bandung dan sate yang dihidangkan sebagai tarikan ke Bandar Maharani Bandar Diraja itu.

Bagi golongan nelayan, Sungai Muar kaya dengan hidupan tiram semula jadi (Crassostrea spp) yang bermutu tinggi manakala penggemar makanan laut menyifatkan isi tiram Muar segar dan menyelerakan.

Isi tiram boleh dimakan dengan pelbagai cara seperti dimakan mentah, dipanggang, digoreng, tumis berlada dan dijadikan sos tiram, yang menariknya terdapat gerai dan medan selera yang menyajikan masakan ini di sini.

Tinjauan Bernama di Pangkalan Nelayan Parit Tiram di sini yang menjadi lokasi pendaratan tiram yang diperoleh dari dasar Sungai Muar, mendapati kaedah memperoleh hidupan sungai itu masih dilakukan secara tradisi iaitu secara selaman tanpa menggunakan peralatan menyelam, yang sudah dipraktikkan sejak turun-temurun.

Beberapa nelayan yang ditemui mengakui Sungai Muar kaya dengan hidupan tiram dan pasarannya adalah tinggi namun pekerjaan sebagai penyelam bukan sesuatu yang mudah kerana seseorang penyelam itu memerlukan banyak tenaga untuk bertahan mengutip tiram di dasar sungai yang berarus deras.

Seorang nelayan yang juga penyelam muda, Muhammad Syaifuddin Mohd Saat, 30, berkata penyelam biasanya menyelam sedalam enam meter secara menahan pernafasan selama kira-kira dua minit dan ia adalah cabaran utama penyelam ketika mencari tiram di dasar Sungai Muar.

Beliau berkata, penyelam yang meneroka dasar Sungai Muar perlu berpaut pada pancang atau batang kayu yang dipacak ke dasar sungai bagi mengelak daripada dihanyutkan arus, sebelum mengutip tiram dan proses itu dilakukan berulang kali.

“Tekanan dan arus yang kuat ketika menyelam boleh menyebabkan telinga kita berdarah dan boleh menyebabkan seseorang itu pekak. Oleh itu hanya orang tertentu (penyelam) dan latihan berterusan sahaja yang kekal dalam pekerjaan menyelam ini,” katanya.

Muhammad Syaifuddin yang sudah enam tahun menjadi penyelam, berkata disebabkan cabaran tersebut golongan muda kini tidak berminat untuk menjadikan penyelam sebagai kerjaya di samping terdapat dalam kalangan ibu bapa tidak menggalakkan anak mereka menjadi nelayan.

Bagaimanapun, tradisi mengutip tiram ini kemungkinan akan lenyap kerana suatu ketika dulu terdapat kira-kira 100 penyelam di sekitar Muar tetapi kini hanya 10 nelayan yang meneruskan usaha tradisi itu.

Ketika tinjauan proses mencari tiram di Pangkalan Nelayan Parit Tiram itu, terdapat lima penyelam muda yang sanggup melakukan kerja berkenaan.

Seorang nelayan yang juga penyelam yang masih aktif, Nasir Kassim, 50, berharap lebih ramai anak muda menceburi kerjaya tersebut kerana pendapatan daripada tiram adalah lumayan.

Tiram yang diperoleh dari Sungai Muar itu dipasarkan kepada peraih yang kemudiannya dijual kepada pengusaha restoran dan medan selera serta dieksport ke Singapura. – BERNAMA

Berita Harian X