Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:26pm
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) beramah mesra bersama penerima sumbangan ketika Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor (Bantuan Khas AnIS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Saddam Yusoff

Sistem baharu pelaksanaan tarif air sedang dirangka - MB Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang merangka sistem baharu pelaksanaan tarif air di negeri ini, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bagaimanapun beliau tidak menetapkan bila sistem baharu itu akan dilaksanakan, namun menegaskan ia perlu dilakukan segera bagi mengekalkan kestabilan operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Sampai masa saya akan umum satu sistem baharu tarif air. Saya belum dapat bayangan bila (pelaksanaan sistem baharu tarif air).

“Saya akan cuba mempercepatkan sebab ia beri kesan kepada kestabilan Air Selangor dan pengurusan Air Selangor.

“Jadi saya kena tengok tarikh dan waktu sesuai sebelum mengumumkan pelaksanaan sistem baharu tarif air ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada 2 Julai lalu, BH melaporkan Kerajaan Selangor masih berunding dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kadar baharu tarif air di negeri itu.

Amirudin berkata, rundingan itu mengambil sedikit masa kerana mahu memastikan kenaikan tarif air tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, namun dalam masa sama perlu memastikan kewangan Kerajaan Selangor tidak terbeban.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata kadar tarif air di seluruh negara akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat tahun ini, selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air.

Beliau berkata, kenaikan tarif air perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Katanya, perundingan untuk menaikkan tarif air perlu dilakukan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Berita Harian X