Selasa, 23 Julai 2019 | 4:52pm
SERAMAI 173 Orang Asli suku Batek yang dikuarintin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani selama 36 hari bermula 18 Jun lalu akibat penularan wabak demam campak kini dibenarkan pulang ke rumah mereka dengan menaiki kenderaan yang disediakan pelbagai agensi keselamatan ke Kampung Kuala Koh selepas keadaan kesihatan mereka bebas daripada wabak berkenaan. - Foto Ramli Ibrahim
SERAMAI 173 Orang Asli suku Batek yang dikuarintin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani selama 36 hari bermula 18 Jun lalu akibat penularan wabak demam campak kini dibenarkan pulang ke rumah mereka dengan menaiki kenderaan yang disediakan pelbagai agensi keselamatan ke Kampung Kuala Koh selepas keadaan kesihatan mereka bebas daripada wabak berkenaan. - Foto Ramli Ibrahim

173 Orang Asli dikuarantin di PPS dibenarkan pulang

GUA MUSANG: Seramai 173 Orang Asli suku Batek yang dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani akibat demam campak, akhirnya dibenarkan pulang hari ini.

Kesemua mereka yang dikuarantin 36 hari sejak 18 Jun lalu, kini kembali ke kediaman masing-masing di Kuala Koh selepas disahkan bebas daripada sebarang wabak penyakit.

Mereka dihantar pulang jam 12 tengah hari tadi menerusi konvoi lapan kenderaan diketuai peronda polis dari Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang dan tiba di Kampung Kuala Koh jam 2.30 petang.

Selain polis, agensi lain yang turut terbabit adalah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid, berkata Orang Asli suku Batek yang dihantar pulang ke rumah kini dapat memulakan hidup baru selepas bebas jangkitan wabak demam campak.

Beliau mengakui kampung itu sebelum ini sunyi apabila lebih 170 daripada 200 penduduk menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) kerana jangkitan wabak penyakit terbabit.

Katanya, mereka yang keluar daripada dua hospital itu tidak dibenarkan pulang ke rumah, sebaliknya dikuarantin di PPS Etnobotani untuk keselamatan dan kesihatan bagi mengelak jangkitan.

“Ketika mereka berada di PPS itu, kita mengambil kesempatan mengadakan Program gotong royong Perdana Khamis lalu dengan membersih sekitar kediaman di kampung berkenaan.

“Justeru, mereka yang pulang dapat tinggal dalam suasana bersih selepas gotong-royong itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata operasi penghantaran Orang Asli dari PPS selamat sampai ke Kampung Kuala Koh petang ini.

Beliau berkata, pihaknya mengiringi mereka supaya tidak ada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan pulang ke kampung mereka yang mengambil masa dua jam setengah.

“Walaupun peringkat permulaannya dilihat mereka murung ketika mula-mula dikuarantin di PPS, tetapi selepas diberi kaunseling dan makanan mencukupi, suasananya semakin ceria,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X