Selasa, 23 Julai 2019 | 8:30pm
PENGERUSI Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahadi Md Rodzi (depan) mengadakan bantahan bersama beberapa NGO di Butterworth, hari ini. - Foto Rosli Ahmad

Lebih 200 nelayan bantah projek tambak laut di Bagan Ajam

BUTTERWORTH: Lebih 200 ahli Persatuan Nelayan Seberang Perai termasuk beberapa individu dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hari ini membantah projek tambakan laut di sepanjang Bagan Ajam ke Telok Ayer Tawar, di sini.

Difahamkan, projek tambakan laut berkenaan susulan kerja-kerja pembangunan Lingkaran Luar Butterworth (LLB) yang sudah lama terhenti sejak 1999.

LLB adalah projek prasarana bawah Kerajaan Persekutuan, bagi menghubungkan lalu lintas di sekitar Butterworth, dengan kemudahan infrastruktur serba lengkap.

Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 90-an, projek itu diswastakan sepenuhnya kepada syarikat konsensi iaitu Syarikat Rayston Consortium (Butterworth) Sdn Bhd bersama Etika Gemilang (Butterworth) Sdn Bhd yang dipilih untuk menyelesaikan kerja-kerja pembangunan LLB berkenaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahadi Md Rodzi, berkata walaupun projek tambakan laut seluas 650 hektar dari Bagan Ajam ke Telok Ayer Tawar belum dilaksanakan, nelayan bimbang selepas melihat kesan tambakan di Tanjung Tokong.

“Perairan di Bagan Ajam ini unik apabila ia menjadi kawasan habitat ikan kembung, ketam dan udang membiak, namun selepas ekosistem mula terjejas dengan kerja-kerja tambakan laut di sekitar negeri ini, kita dapati berlaku kekurangan hasil laut.

“Hal ini memberikan kebimbangan kepada nelayan termasuk rakyat apabila harga ikan dan hasil laut lain melambung tinggi,” katanya selepas mengadakan bantahan bersama beberapa NGO di sini, hari ini.

Dalam bantahan yang diadakan bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu, Mahadi turut menyerahkan memorandum kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Ayer Tawar, Mustafa Kamal Ahmad.

Mahadi berkata, memorandum berkenaan bagi meminta kerajaan negeri menghentikan serta-merta projek tambakan laut yang bakal dilaksanakan di sepanjang Bagan Ajam ke Teluk Ayer Tawar, demi mempertahankan hak nelayan.

“Kawasan Bagan Ajam juga popular dengan kedatangan pelancong. Bayangkanlah, apabila ia ditambak serta dibangunkan dengan projek mega, sudah pasti melenyapkan segala keindahan yang terdapat di laut ini.

“Oleh itu, kita minta kerajaan negeri mendengar rayuan daripada nelayan dengan segera menghentikan projek tambakan laut daripada diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Mustafa Kamal berkata, beliau akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada kerajaan negeri dalam mesyuarat EXCO, termasuk kepada Pengerusi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis ini.

“Apa yang pasti, saya akan bersama-sama mempertahankan hak rakyat di kawasan ini dan mengusahakan apa yang boleh. Segala jawapan susulan akan dimaklumkan kelak selepas mendapat jalan penyelesaian yang sepatutnya,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X