Rabu, 24 Julai 2019 | 11:42am
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Tempoh perintah berkurung ESSZONE dilanjutkan

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, akan dilanjutkan hingga 9 Ogos depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, orang ramai tinggal di kawasan terbabit dikehendaki berada di rumah dan tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan itu sepanjang tempoh berkenaan.

“Perintah berkurung perlu diterus bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan di sekitar Sabah.

“Maklumat risikan polis juga mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh kawasan ini untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Omar berkata, perintah berkurung itu bertujuan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat di kawasan daratan ESSZONE.

Beliau berkata, langkah itu juga akan memudahkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, selain memberikan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak, untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X