Jumaat, 26 Julai 2019 | 3:28pm

Paus muncul lagi

DUNGUN: Selepas penemuan sepasang paus pembunuh 16 Julai lalu, sekumpulan paus pilot sirip pendek atau ‘Short Finned Pilot Whale’ ditemui berenang berhampiran Pulau Perhentian, Besut, kelmarin.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Tamimi Ali Ahmad, mengesahkan sekumpulan mamalia marin itu menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi mereka.

Beliau berkata kemunculan paus terbabit dirakam sekumpulan pemancing yang memaklumkan saiz mamalia marin itu sangat besar dan banyak.

“Saya percaya paus itu adalah spesies pilot sirip pendek. ‘Short Finned Pilot Whale’, atau nama saintifiknya ‘Globicephala Macrorhynchus’ kerana kebiasaannya spesies ini memang sentiasa bergerak dalam kumpulan antara 10 hingga 50 ekor.

“Antara saiz paus yang dianggarkan bagi kumpulan ini adalah tiga hingga tujuh meter dengan anggaran berat 1,000 hingga 3, 000 kilogram (kg) bagi dewasa, manakala seberat 60 hingga 500 kg dan panjang antara satu hingga tujuh meter bagi anak,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Tamimi berkata jangka hayat paus itu dianggarkan boleh mencapai antara 40 hingga 45 tahun serta usia kematangan paus ini antara 10 hingga 20 tahun.

“Paus ini juga mengambil masa kandungan sehingga 15 bulan dengan saiz anak baru lahir antara satu hingga 1.9 meter panjang dan berat 60 kg, kebiasaannya berpisah dengan ibu selepas mencapai umur dua tahun.

“Paus ini biasanya hidup bergerak dan memburu dalam kumpulan antara 10 ekor sehingga mencapai 50 ekor. Ada juga sesetengah kumpulan boleh mencapai sehingga 200 ekor,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod, paus itu tidak pernah melalui perairan Terengganu dan kehadiran kumpulan paus terbabit adalah rekod pertama yang dicatatkan di sini.

“Kali terakhir paus jenis ini dilaporkan terdampar mati di Sarawak pada 2013 dan di Labuan, Sabah pada 2015.

“Paus pilot sirip pendek tersenarai dalam jadual mamalia marin dan antara satu spesies marin terancam di Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, paus itu adalah pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dan ia adalah haiwan karnivor yang biasanya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu serta burung laut.

“Ia juga gemar memakan sampah sarap dan plastik yang bertebaran di lautan kerana terdapat beberapa kes haiwan itu terlantar sakit dan mati di luar negara.

“Paus spesis ini hidup di serata lautan dan gemar bermain di kawasan laut yang tidak terlalu cetek, jauh dari pesisir pantai dan laut yang sedikit panas serta mempunyai banyak makanan seperti sotong.

“Mungkin ketika ini musim sotong dan kumpulan itu berkunjung ke perairan Terengganu,” katanya.

SEKUMPULAN paus pilot sirip pendek atau ‘Short Finned Pilot Whale’ ditemui berenang berhampiran Pulau Perhentian, Besut, kelmarin. - Foto ihsan pembaca
SEKUMPULAN paus pilot sirip pendek atau ‘Short Finned Pilot Whale’ ditemui berenang berhampiran Pulau Perhentian, Besut, kelmarin. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X