Sabtu, 27 Julai 2019 | 3:15pm
GRADUAN Darul Quran, Tan Mike Foong, yang juga orang kurang upaya (OKU) menerima ucapan tahniah daripada ibunya, Ang Bee Cheng yang bukan beragama Islam selepas majlis Konvokesyen Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini. - Foto Mohd Azrone Sarabatin

Ibu bukan Islam temani anak di Konvokesyen Darul Quran

HULU SELANGOR: Kehadiran seorang wanita bukan Islam menemani anaknya orang kurang upaya (OKU) naik ke pentas menerima Sijil Asas Tahfiz pada majlis Konvokesyen Darul Quran, di sini, hari ini, menarik perhatian hadirin yang memenuhi dewan.

Ang Bee Cheng, 48, menemani anaknya, Tan Mike Foong, 23, seorang mualaf yang berjaya menamatkan Sijil Asas Tahfiz selama setahun di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Kubu.

Mike Foong berjaya menghafaz 10 juzuk al-Quran walaupun bermasalah penglihatan sejak dilahirkan.

Menggunakan braille sebagai medium pembelajaran, beliau kini meneruskan pengajian peringkat Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat yang disyaratkan menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun.

“Insya-Allah, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian peringkat diploma dan sebagai manusia biasa, cita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah memang ada dalam sanubari,” katanya.

Mike Foong adalah seorang daripada 601 graduan Darul Quran yang menerima sijil dan diploma pada majlis Konvokesyen Darul Quran Ke-28.

Penganugerahan sijil dan diplomadi sempurnakan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Seramai tujuh pelajar kategori mualaf dan etnik pribumi termasuk Kagayan, Dusun, Melanau dan Murut dari Sabah dan Sarawak menerima sijil masing-masing.

Bagi Bee Cheng, walaupun berbeza agama, ia bukan halangan kepadanya untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Kasih sayang saya pada Mike Foong tidak pernah hilang, dan saya juga akan memastikan makan minumnya adalah halal.

“Sebenarnya saya hanya mengetahui Mike memeluk Islam selepas setahun setengah beliau mengucap dua kalimah syahadah, sebelum memilih melanjutkan pengajian ke Darul Quran,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nordin berharap pelajar mualaf berkenaan akan menjadi ‘duta Rahmatan Lil Alamin’ (rahmat sekalian alam) kepada kelompok masyarakat mereka.

“Kita harap pada masa depan, lebih ramai kelompok masyarakat mereka yang menjadi ‘hamalatul Quran’ (pembawa al-Quran),” katanya.

Berita Harian X