Sabtu, 27 Julai 2019 | 5:04pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa merasmikan Festival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, hari ini. - Foto Rozainah Zakaria

Festival Kenyir berpotensi jadi tarikan TMM2020

KUALA BERANG: Festival Kenyir di Tasik Kenyir di sini, yang menarik ramai pengunjung saban tahun boleh dijadikan acara penting dalam menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, berkata Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) selaku pengurusan Tasik Kenyir boleh mempergiatkan promosi tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu sebagai lokasi tarikan pelancong.

“Tahun ini kita mensasarkan kedatangan pengunjung sehingga 80,000 orang untuk Festival Kenyir 2019 yang diadakan selama empat hari sehingga esok dengan sasaran jualan dan pendapatan sebanyak RM1.6 juta.

“Sebanyak 35 acara yang diadakan sepanjang Festival Kenyir 2019 ini seperti sukan air, ski, pesta jualan pelbagai barangan bebas cukai, acara memancing, kebudayaan dan kraftangan penduduk setempat serta makanan berasaskan ikan sungai dan makanan tradisi dapat menggamit pelancong ke sini.

“KETENGAH sudah boleh mula merancang supaya tahun hadapan penganjuran festival ini dapat disesuaikan dengan TMM 2020,” katanya pada sidang media selepas mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun merasmikan Festival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi KETENGAH, Datuk Zulkifli Mohamad dan Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Sivarasa berkata, pihaknya berharap KETENGAH dapat merancang projek baharu bagi meningkatkan kebolehpasaran Tasik Kenyir di seluruh dunia dengan pelbagai tarikannya yang unik dan tersendiri.

Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut memberi perhatian sewajarnya kepada pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir dengan memperuntukkan RM38 juta kepada KETENGAH tahun ini, bagi melaksanakan pelbagai projek penyediaan infrastruktur komersial dan program kemudahan sosial.

“Ini sejajar hasrat menjadikan Tasik Kenyir destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Kementerian juga giat melaksanakan pembangunan menyeluruh Tasik Kenyir merangkumi aspek keselamatan terutama di kawasan tinggi dan cerun, serta menaik taraf infrastruktur komersial di Zon Bebas Cukai dan Pusat Penempatan Bandar Baru Gawi.

“Kita juga akan menaik taraf jaringan jalan raya di Pengkalan Gawi, termasuk kerja tanah dan sistem perparitan serta menaik taraf landskap bagi menghidupkan lagi elemen flora di Tasik Kenyir ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian berharap sektor pelancongan di kawasan luar bandar seperti Tasik Kenyir dapat menarik pembabitan aktif masyarakat setempat dalam meningkatkan pulangan ekonomi dan memperkasakan pelancongan desa, sekali gus meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Berita Harian X