Sabtu, 27 Julai 2019 | 5:17pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa (tiga dari kanan) ketika ditemui pada majlis perasmian Festival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman (empat dari kiri). - Foto BERNAMA

Air Terjun Lasir dibuka semula minggu depan

KUALA BERANG: Air Terjun Lasir di Tasik Kenyir, di sini, yang ditutup sejak 19 Julai lalu berikutan masalah air keruh dan berkeladak akibat pembalakan hutan di kawasan berhampiran, akan dibuka semula minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata air terjun berkenaan semakin kembali jernih seperti asal dan sedia dibuka semula kepada pengunjung.

“Kerajaan negeri berpuas hati dengan pemulihan Air Terjun Lasir yang sebelum ini bertukar keruh dan berkeladak kerana pembalakan di hutan berhampiran dan ia akan dibuka semula minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Festival Kenyir 2019 oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Zulkifli Mohamad dan Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Sebelum ini kerajaan negeri mengarahkan kontraktor pembalakan yang menyebabkan punca berlakunya kekeruhan air di kawasan Air Terjun Lasir menghentikan pembalakan di kawasan hutan berhampiran.

Ariffin berkata kawasan Air Terjun Lasir itu keruh disebabkan hakisan dan runtuhan tanah ketika kerja pembinaan jalan hutan dan laluan lori balak serta projek pembinaan jambatan di kawasan berhampiran oleh kontraktor pembalakan yang diberi lesen oleh Jabatan Perhutanan.

Berita Harian X