Ahad, 28 Julai 2019 | 11:31am
NURUL Faezah Hamzah dan suami, Safuan Ramlee bersama anak mereka, Noor Iffat Amani Mohd Safuan, 14 bulan yang menghidap kanser buah pinggang ketika ditemui di Kampung Seberang Perai, Ayer Lemau, Masjid Tanah, - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Bayi 14 bulan menderitai kanser buah pinggang

ALOR GAJAH: Seorang bayi perempuan berumur 14 bulan menderitai penyakit kanser di kedua-dua buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali sejak awal bulan ini.

Noor Iffat Amani Mohd Safuan disahkan menghidap penyakit itu pada 27 Jun lalu dengan saiz ketumbuhan sel kanser pada buah pinggang sebelah kanan semakin membesar dan sedang merebak ke buah pinggang kiri.

Ibu bayi itu, Nurul Faezah Hamzah, 34, berkata hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya beliau dan suami, Mohd Safuan Ramlee, 30, apabila mengenangkan keadaan kesihatan Noor Iffat Amani.

Beliau berkata, mereka buntu apabila doktor menganggarkan kos pembedahan anak bongsu daripada tiga beradik itu mencecah sekitar RM25,000 kerana suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan hotel dengan gaji RM1,100 sebulan.

Katanya, beliau pula terpaksa berhenti kerja pada bulan lalu untuk memberi sepenuh perhatian kepada Noor Iffat Amani, selain dua lagi anak masih kecil, Noor Iman Aiman, 8, dan Noor Izz Amsyar, 4.

“Ketika anak disahkan menghidap kanser, saya tergamam, sedih dan pilu mengenangkan Iffat yang masih bayi serta sihat sebelum ini, tiba-tiba perlu melalui rawatan kemoterapi sebelum dijangka menjalani pembedahan pada awal September depan.

“Buah pinggang kanannya mungkin tidak dapat diselamatkan kerana saiz tumor sel kanser semakin membesar. Doktor sedang berusaha membunuh sel kanser yang sudah merebak ke buah pinggang kiri.

“Tidak dapat dibayangkan bagaimana Iffat akan meneruskan kehidupan jika kedua-dua buah pinggang rosak,” katanya dengan linangan air mata ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Seberang Perai, Ayer limau, Masjid Tanah.

Nurul Faezah berkata, setiap bulan, beliau dan suami berulang-alik dari Masjid Tanah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur, untuk rawatan kemoterapi Noor Iffat Amani berikutan ketiadaan doktor pakar kanser buah pinggang di Hospital Melaka.

“Kos ulang-alik ke hospital ialah RM200 untuk satu sesi rawatan kemoterapi. Dalam sebulan, Iffat perlu menjalani empat kali rawatan kemoterapi dan satu pemeriksaan ultrasound yang menelan perbelanjaan ulang-alik berjumlah RM1,000,” katanya.

Namun, Nurul Faezah berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan orang ramai menyalurkan sumbangan melalui tabung kutipan derma untuk anaknya itu yang diletakkan di kedai makan serta masjid, baru-baru ini.

Katanya, beliau sebelum ini memuat naik status penyakit kanser dihidapi anaknya itu dan memohon sumbangan menggunakan akaun Facebook beliau sebelum ia tular.

“Sebahagian besar sumbangan diperoleh digunakan untuk menampung kos ulang-alik hospital dan penjagaan Iffat sepanjang rawatan. Bagi kos rawatan pula, kami sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Nurul Faezah melalui talian 010-4028114.

Berita Harian X