Ahad, 28 Julai 2019 | 3:57pm
NAIB Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail (kiri) beramah mesra dengan peserta Seminar Ke-8 East Coast Society of Neuroradiology dan Interventional Radiology (ECSNIR) 2019 di Kota Bharu, hari ini. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

HUSM perkenal kaedah rawatan matikan sel kanser di Pantai Timur

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) memperkenalkan rawatan penyakit kanser yang lebih efektif menerusi kaedah radiologi intervensi.

Penyelaras Unit Perawatan Radiologi Intervensi (AMIEN) HUSM, Dr Chandran Nadarajan, berkata kaedah rawatan yang diperkenalkan itu untuk mematikan sel kanser.

Katanya, unit perawatan radiologi intervensi HUSM adalah pusat rujukan utama bagi negeri pantai timur Semenanjung dan satu-satunya hospital yang mempunyai kepakaran dan kemudahan dalam bidang radiologi intervensi untuk merawat pesakit di Kelantan dan Terengganu.

“Melalui rawatan intervensi radiologi, pakar bedah akan melakukan pembedahan berpandukan imej menggunakan laser atau wayar yang dimasukkan ke dalam saluran darah.

“Pada masa sama, ia juga tidak memerlukan pembedahan yang besar selain mengurangkan kesan sampingan seperti jangkitan kuman. Buat masa ini, dua hingga tiga pesakit yang menjalani pembedahan setiap hari di HUSM.

“Kebiasaannya kaedah rawatan ini banyak digunakan untuk merawat penyakit kanser hati, paru-paru dan buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Ke-8 East Coast Society of Neuroradiology dan Interventional Radiology (ECSNIR) 2019 yang dirasmikan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah HUSM, Prof Datuk Ahmad Sukari Halim dan Pengerusi Persatuan ECSNIR, Prof Madya Dr Mohd Shafie Abdullah.

Seminar dua hari bermula hari itu dihadiri 300 peserta terdiri daripada pakar radiologi, pegawai perubatan, juru X-ray, jururawat, pembantu perubatan dan pelajar sarjana muda perubatan dari seluruh negara.

Dalam pada itu, seminar berkenaan turut disertai panel dari Itali dan Thailand bagi meningkatkan pemahaman peserta dalam bidang rawatan intervensi radiologi.

Sementara, Dr Asma berkata, seminar berkenaan sebahagian usaha pihaknya untuk terus mempelopori kaedah perubatan moden.

“Seiring usaha kami merintis peluang baharu khususnya bidang perubatan dan kesihatan, penyampaian maklumat terkini mengenai perawatan penyakit ketumbuhan (onkologi) melalui kaedah intervensi radiologi serta kesihatan wanita menjadi objektif utama seminar ini,” katanya.

Berita Harian X