Isnin, 29 Julai 2019 | 3:51pm
PENGERUSI Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian. - Foto Faiz Anuar
PENGERUSI Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian. - Foto Faiz Anuar

Kerajaan Selangor tidak tutup kilang plastik

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak akan menutup kilang plastik yang beroperasi di negeri ini walaupun ia bertentangan dengan kempen bebas beg plastik, kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Beliau berkata, cadangan supaya kerajaan negeri menutup kilang plastik bagi memastikan kempen bebas plastik berjaya adalah tidak munasabah dan tidak praktikal.

“Seperti kempen bebas asap rokok, adakah Kerajaan Persekutuan merancang menutup kilang rokok. Pengilang mahu hasilkan produk itu adalah kuasa mereka.

“Ia sama seperti kita melarang orang merokok, tetapi masih membenarkan kilang rokok menghasilkan rokok. Jadi, jangan jadikan ia isu.

“Begitu juga dengan pengguna, mereka ada hak menggunakan beg plastik. Tugas kita mendidik orang ramai supaya kurangkan penggunaan beg plastik,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (AMANAH-Meru) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membenarkan kilang plastik terus beroperasi.

Mohd Fakhrulrazi turut menyifatkan kempen bebas beg plastik hanya sia-sia jika pengeluaran beg plastik terus dibenarkan.

Loy Sian berkata, larangan penggunaan beg plastik di negeri ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2025.

Sementara itu, beliau turut mempertahankan keputusan melarang premis makanan di negeri ini menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan

“Kita menggalakkan rakyat menggunakan penyedut minuman keluli tahan karat. Kita juga turut menggalakkan premis makanan menyediakan penyedut minuman kertas kepada pelanggan,” katanya.

Bermula 1 Julai lalu, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik secara terbuka kepada pelanggan.

Berita Harian X