Selasa, 30 Julai 2019 | 2:21pm
Dr Madeline (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar di Kuching. - NSTP/Norsyazwani Nasri

SUHAKAM Sarawak terima lebih 50 aduan NCR

KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sarawak menerima lebih 50 aduan berkenaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sejak tahun lalu hingga Julai tahun ini.

Pesuruhjaya SUHAKAM Sarawak, Dr Madeline Berma, berkata aduan yang diterima kebanyakannya daripada penduduk luar bandar di negeri ini.

“SUHAKAM Sarawak mengambil serius isu tanah kerana kami tidak mahu penduduk luar bandar dianiaya dan mereka mempunyai hak untuk bersuara.

“Penyelesaian isu tanah NCR ini masih berterusan dan sukar untuk diselesaikan dan masih berlarutan kerana masyarakat luar bandar tidak mengguna saluran yang betul untuk membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat SUHAKAM Sarawak, di sini, semalam.

Madeline berkata, kebanyakan aduan yang diterima merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita berharap pihak kerajaan negeri mengambil serius dan peka terhadap semua permasalahan rakyat dengan mengamalkan undang-undang atau dasar yang betul untuk menyelesaikan perkara ini.

“Suara rakyat harus didengar terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, setiap daripada kita mempunyai hak masing-masing, SUHAKAM Sarawak tidak mahu melihat hak rakyat terabai begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya pelanggaran hak asasi manusia di negeri ini masih terkawal.

“Jika dibandingkan dengan keadaan di Semenanjung dan Sabah, rekod pelanggaran hak asasi manusia di Sarawak cuma sedikit.

“Mungkin disebabkan masyarakat Sarawak tidak mengetahui kewujudan SUHAKAM Sarawak yang dapat membela nasib mereka yang dizalimi,” katanya.

Berita Harian X