Rabu, 31 Julai 2019 | 3:38pm
KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Tiada penjualan 'Ghost Smoke' di Perlis

KANGAR: Pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada premis perniagaan di Perlis menjual gula-gula berasap atau ‘Ghost Smoke’.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas premis di negeri ini sejak 23 Julai lalu hingga semalam dan mendapati peniaga tidak menjual gula-gula berkenaan.

“Sebanyak 125 premis perniagaan runcit dan borong diperiksa dalam operasi khas selama seminggu dan kami tiada sebarang kes dilaporkan membabitkan penjualan gula-gula berasap atau ‘Ghost Smoke’ di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berasap yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Isu berkenaan tersebar selepas satu video menunjukkan beberapa murid sekolah rendah di Papar, Sabah, menghembuskan asap selepas makan gula-gula itu dimuat naik dalam media sosial dan pemeriksaan pihak berkuasa kemudian mendapati ia dijual di seluruh negara.

Mohamad Amir turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat atau membuat aduan jika ada premis perniagaan yang masih berdegil menjual gula-gula berasap.

Berita Harian X