Khamis, 1 Ogos 2019 | 9:13pm
Jambatan angkat dibuka sepenuhnya mulai hari ini. - NSTP/Rozainah Zakaria

Jambatan angkat dibuka sepenuhnya mulai hari ini

KUALA TERENGGANU: Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ dibuka sepenuhnya kepada kenderaan dan pejalan kaki, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd (TI Properties), Khalizan Mahmud, berkata kenderaan sudah dibenarkan melalui jambatan itu, manakala orang awam boleh bersiar-siar dan beriadah di laluan pejalan kaki.

TI Properties adalah anak syarikat kerajaan negeri yang menguruskan jambatan pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan mercu tanda baharu Terengganu itu.

Orang ramai mula guna jambatan angkat. - NSTP/Rozainah Zakaria

Khalizan berkata, orang ramai bagaimanapun tidak dibenarkan parkir kenderaan di jambatan itu, selain belum boleh memasuki empat menara untuk ke dua ‘skybridge’ menempatkan galeri dan restoran kerana masih dalam proses pengubahsuaian.

“Kita menjangkakan restoran dan galeri itu mungkin beroperasi dalam masa satu atau dua bulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pembukaan sepenuhnya jambatan angkat kepada orang awam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalizan berkata, proses penambahbaikan terhadap jambatan itu kini hampir siap sepenuhnya dengan hanya tinggal beberapa perkara kecil perlu dilaksanakan.

Pandangan dari udara jambatan angkat Kuala Terengganu. - NSTP/Imran Makhzan

Beliau berkata, hingga semalam, pihaknya masih menjalankan pengujian terhadap jambatan itu bagi memastikan ia selamat digunakan orang awam.

“Kami mendapati tiada masalah untuk jambatan ini dibuka kepada pengguna. Orang ramai juga tidak perlu risau kerana jambatan ini menggunakan sistem hidraulik paling canggih yang dapat membuka dan menutup jambatan dengan cepat serta selamat.

“Kita turut menempatkan 38 petugas untuk mentadbir dan menyelenggara jambatan ini, termasuk pengawal keselamatan serta pegawai yang akan memberikan maklumat kepada orang awam,” katanya.

Ditanya mengenai waktu jambatan itu akan diangkat dan diturunkan pula, Khalizan berkata, buat masa ini, pihaknya tiada jadual tetap untuk proses berkenaan.

Namun, beliau berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Jabatan Laut untuk menentukan waktu sesuai jambatan terbabit diangkat bagi membuka laluan kepada bot atau kapal.

Katanya, hasil perbincangan itu akan menentukan jadual proses mengangkat dan menurunkan jambatan berkenaan.

“Jadual terbabit akan disediakan setiap bulan supaya orang ramai dapat datang melihat proses berkenaan dilakukan.

“Kita tidak boleh membuka jambatan ini sesuka hati kerana akan mengganggu laluan trafik.

“Mengikut perancangan kita, jambatan ini mungkin akan diangkat dua atau tiga kali seminggu. Namun jika ada kecemasan atau keperluan, pihak awam boleh menghubungi kami untuk mengangkat jambatan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalizan berkata, pihaknya sudah menerima beberapa permohonan daripada syarikat yang berminat menjalankan operasi restoran di ‘skybridge’ tetapi belum diputuskan, setakat ini.

Apabila beroperasi kelak, beliau berkata, pihak restoran dilarang memasak di dalam premis terbabit kerana tidak dibenarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas faktor keselamatan.

“Oleh itu, pihak restoran akan memasak di tempat lain dan membawanya ke sini apabila beroperasi nanti.

“Berhubung galeri pula, banyak aktiviti akan disediakan untuk kanak-kanak dan dewasa. Kita juga ada tema tertentu yang akan ditukar setiap satu atau dua bulan, termasuk mengadakan pameran mengenai operasi jambatan, teknologi dan sejarah Terengganu.

“Pengunjung dijangka dikenakan bayaran untuk memasuki menara kerana ada kos penyelenggaraan jambatan ini. Namun, harganya minimum berbanding menara yang ada di negara ini. Bagi enam bulan pertama, kita akan memberi potongan harga yang banyak kepada orang ramai,” katanya.

Berita Harian X