Jumaat, 2 Ogos 2019 | 9:26am
MENTERI Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung.
MENTERI Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Larangan merokok: Penguatkuasaan pendidikan dilanjutkan hingga Disember

KOTA KINABALU: Larangan merokok secara penguatkuasaan pendidikan di premis makan di Sabah bermula Januari lalu, dilanjutkan hingga akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri negeri pada 24 Julai lalu.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi peluang secukupnya untuk perokok meningkatkan pengetahuan mengenai larangan merokok, sekali gus tidak merokok di tempat makan yang dilarang mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Dalam tempoh lanjutan, kementerian juga akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menentukan kawasan merokok di luar premis tempat makan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ming Fung berkata, pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok sejak 1 Januari lalu, mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Beliau berkata, langkah itu mendapat sokongan penuh kerajaan negeri melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Kerjasama erat antara Jabatan Kesihatan Sabah dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan PBT bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, menjamin pelaksanaan yang baik.

“Sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan, tuan premis dan orang ramai diberikan maklumat berterusan berkaitan larangan merokok di tempat makan.

“Melalui tinjauan dijalankan, rakyat Sabah mematuhi larangan ini dengan baik dan ia memberikan impak positif yang mana semakin ramai dapat menikmati udara bersih serta persekitaran tempat makan lebih selesa,” katanya.

Ming Fung berkata, melalui penguatkuasaan pendidikan secara berterusan, Jabatan Kesihatan Sabah setakat ini sudahpun menjalankan pemeriksaan terhadap 5,704 premis.

Katanya, sebanyak 5,206 atau 91.3 peratus premis sudah memasang papan tanda larangan merokok, manakala 262 sesi taklimat dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 1,444 penguatkuasaan pendidikan dengan 498 notis amaran dikeluarkan kepada premis tidak memasang papan tanda dan 14 notis amaran kepada mereka yang merokok di tempat makan.

“Jabatan Kesihatan Sabah akan meneruskan pemantauan bagi memastikan menjelang Disember depan, 100 peratus premis makan di negeri ini ada papan tanda larangan merokok,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, perokok digalakkan mengikuti Program Berhenti Merokok dijalankan Klinik Berhenti Merokok di 23 hospital, 58 klinik kesihatan dan 12 fasiliti swasta yang menawarkan perkhidmatan mQuit.

Beliau berkata, maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian infoline 03-88924530 atau melayari laman web: www.jomquit.moh.gov.my.

Berita Harian X