Sabtu, 3 Ogos 2019 | 10:46am
EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee (tiga dari kanan) memotong kek sebagai simbolik perasmian Melaka Durian Street Fest 2019 di Freeport A’Famosa Outlet (FAO). Turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hasan (empat dari kanan) dan Freeport A’Famosa Outlet Melaka, Kenzo Lau Joo Feng (kiri). - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

FAMA Melaka anjur pesta buah-buahan elak lambakan

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan kerap menganjurkan pesta buah-buahan sebagai usaha mengelak lambakan buah menjelang penghujung musim tidak lama lagi.

EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee, berkata langkah terbabit juga secara tidak langsung memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan buah-buahan segar dengan harga lebih murah.

Katanya, ia sejajar dengan hasrat FAMA untuk menggalakkan orang ramai menikmati buah-buahan tempatan yang berkualiti dan selamat.

“Menerusi penganjuran pesta buah-buahan itu, orang ramai juga dapat mengetahui gred dan kualiti buah di pasaran, di samping memastikan durian serta buah bermusim mendapat pasaran baik,” katanya selepas melancarkan The Melaka Durian Street Fest 2019 di Freeport A’Farmosa Outlet (FAO) di sini.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA Melaka, Che Samudin Hasan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Zamzuri Arifin dan Pengarah FAO, Kenzo Lau Joo Feng.

Festival yang dianjurkan bersama FAO dan FAMA itu berlangsung tiga hari, berakhir esok menawarkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan segar dengan harga murah.

Ia termasuk pelbagai jenis durian iaitu Musang King atau Raja Kunyit, IOI, D24, durian kampung, Udang Merah dan Dato Nina.

Turut diperkenalkan, durian yang dihasilkan di Melaka iaitu Lima Jari atau nama komersialnya Bantal Mas atau Monthong.

Durian Lima Jari yang ditanam secara komersial di Asahan, Jasin mempunyai isi berwarna kuning susu dengan rasa lemak manis, isinya tebal serta berat sehingga tujuh kilogram sebiji.

Turut dijual di festival berkenaan ialah buah rambutan, manggis, dokong, langsat, mata kucing, nanas madu, cempedak, mangga Melaka Delight serta pelbagai jenis anak pokok, produk dan makanan berasaskan durian.

Sementara itu, Joo Feng berkata, pihaknya menyediakan satu segmen khas iaitu bufet durian selama sejam setiap hari dengan bayaran RM49.90 untuk pemegang Mykad dewasa, manakala tanpa MyKad pula berharga RM69.90.

Bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun pula RM25.

Katanya, sesi bufet itu dibahagikan kepada enam segmen selama sejam iaitu bermula jam 11.30 pagi, 1 tengah hari, 2.30 petang, 4 petang, 5.30 petang dan 6.30 petang.

“Pengunjung yang membeli tiket boleh menikmati durian termasuk Lima Jari sebanyak mana yang mereka mampu dalam tempoh sejam,” katanya.

Berita Harian X