Sabtu, 3 Ogos 2019 | 2:48pm
Antara pelajar yang hadir pada Program Sirih Pulang ke Gagang di MRSM Tun Ghafar Baba. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Tidak pernah jemu curah ilmu

JASIN: “Kami mungkin tidak ada banyak wang ringgit untuk membantu semua pelajar, tetapi kami tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, pengalaman dan tenaga yang ada ke tempat kami menimba ilmu dahulu,” kata Mohamad Azhar Ahmad.

Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) Tun Ghafar Baba (TGB) itu berkata, tiada apa yang lebih menggembirakannya bersama kira-kira 60 alumni ANSARA TGB apabila meneruskan tugas sukarela di bawah Program Sirih Pulang Ke Gagang (SPKG) sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, SPKG TGB 2019 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini adalah yang ke-11 diadakan sejak program bicara kerjaya itu bermula pada 2008.

“Tahun ini kami mengumpulkan 60 alumni ANSARA TGB yang berpengalaman dalam 30 kerjaya profesional untuk berkongsi pengalaman selain memberi panduan kepada pelajar untuk mencapai cita-cita mereka.


Pelajar mendengar penerangan daripada alumni MRSM Jasin pada Program Sirih Pulang ke Gagang di MRSM Tun Ghafar Baba. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

“Selain berkongsi pengalaman mengenai kerjaya kepada 448 pelajar Tingkatan Empat, kami turut mengadakan acara sukan yang merapatkan lagi hubungan antara pelajar dan bekas pelajar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penyelaras Program SPKG TGB, Rozman Mohd Ariffin, berkata seramai 60 fasilitator pada program terbabit adalah bekas pelajar MRSM TGB yang sudah menamatkan pengajian mereka antara 1986 hingga 2004.

“Mereka ini berjaya dalam pelbagai bidang profesional antaranya juruterbang, pengarang akhbar, doktor, pakar motivasi, perunding teknologi maklumat dan jurutera pesawat yang akan berkongsi pengalaman dengan pelajar.

“Semua pelajar dibahagikan kepada 25 kumpulan dan setiap kumpulan berpeluang berinteraksi dengan 15 fasilitator dalam dalam 30 bidang berlainan,” katanya.


Pelajar menerima penerangan daripada alumni MRSM Jasin pada Program Sirih Pulang ke Gagang di MRSM Tun Ghafar Baba. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Sementara itu, peserta program, Hanis Haida Insyirah Hairul Riduan, 16, berkata, beliau gembira kerana dapat berinteraksi secara langsung dengan juruterbang pesawat komersial yang menjadi antara 15 fasilitatornya.

“Selama ini saya hanya dapat maklumat daripada guru selain melalui pembacaan tetapi hari ini, saya dapat bertemu empat mata dengan juruterbang.

“Banyak persoalan terjawab termasuk apakah jalan perlu dipilih selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Berita Harian X