Sabtu, 3 Ogos 2019 | 3:01pm
EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee (dua dari kanan) meluangkan masa melihat alat pemadam api keluaran Syarikat HNH Construction & Services pada Program Jejak PKS Wilayah Selatan anjuran Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), Ayer Keroh. Turut hadir, Ketua Pegawai Pembangunan Kluster, SME Corp, Zaky Moh (kanan), Pengarah Urusan HNH Construction & Services, Mohd Nor Azmi (dua dari kiri) dan Pengerusi Koperasi Makmur Melaka Berhad MBMB (KOPERMA), Rafiee Mamat (kiri). - Foto Khairunisah Lokman

RM23.8 juta disalurkan untuk usahawan BEEP Melaka

AYER KEROH : Sejumlah RM23.8 juta dibiayai Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) kepada 347 penerima geran Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) di Melaka sehingga April 2019.

Ketua Pegawai Pembangunan Kluster, SME Corp, Zaky Moh, berkata pembiayaan itu diluluskan daripada 383 permohonan bagi menyuntik semangat keusahawanan kalangan masyarakat selaras Dasar Keusahawanan Nasional.

“Pihak kita dalam usaha mensasarkan lima syarikat di setiap zon utara, timur, selatan, Tangkak serta Sabah dan Sarawak, tahun ini.

“Setakat ini, wilayah selatan di Melaka hanya satu dan akan diteruskan sebagai usaha memastikan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya golongan bumiputera mendapat bantuan bagi menguruskan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) syarikat HNH Construction & Services Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Mohd Nor Azmi dan Koperasi Makmur Melaka Bhd (KOPERMA) diwakili Rafiee Mamat, pada Program Jejak PKS Wilayah Selatan, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Program diadakan sempena Minggu Keusahawanan PKS 2019 itu disempurnakan oleh EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee.

Katanya, sejak program PKS dilancarkan pada 2016, SME Corp sudah menjejaki 22 usahawan PKS seluruh negara dan kesemua berjaya mengembangkan perniagaan dan merekodkan jualan tinggi.

Sementara itu, Norhizam berkata, kerajaan negeri berharap kira-kira 40 peratus produk tempatan keluaran usahawan Bumiputera dapat diketengahkan dalam pasaran perkhidmatan logistik dan pembangunan sekitar negara.

Katanya, usaha itu bagi memberi laluan kepada usahawan Bumiputera untuk bersaing dengan syarikat yang sudah beroperasi sekian lama dan diiktiraf sekali gus dapat menonjolkan produk tempatan lebih berkualiti.

“Kita mahu (produk) orang Melayu kita ke depan, jadi kalau boleh selain bantuan geran dan pemasaran, saya minta kerajaan (Pusat) supaya beri laluan (pasaran) untuk mereka tonjol dan pasarkan produk.

“Seperti di bangunan, teksi, bas kilang dan bangunan sekitar negara, kita minta guna 40 peratus produk tempatan, jika tidak mereka sukar masuk ke tengah pasaran untuk bersaing,” katanya.

Berita Harian X