Ahad, 4 Ogos 2019 | 11:33am
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengadakan sidang media pada program 'Bersama Komuniti Sikh dan Sambutat Vaisakhi 2019 di Kuil Sikh, Jalan Masjid Kuching. - Foto L. Manimaran

Hulurkan sumbangan untuk Tabung Pahlawan

KUCHING: Jasa veteran tentera yang menyumbang kepada keamanan negara dihargai kerajaan negeri apabila ramai antara mereka dilantik sebagai pemimpin masyarakat, selepas bersara daripada perkhidmatan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Abang Openg, berkata veteran tentera bukan sahaja berpengalaman dalam mempertahankan negara, malah mampu menjadi pentadbir yang baik berbekalkan disiplin yang tinggi.

Justeru katanya, tidak hairanlah ramai veteran tentera dilantik sebagai ketua kaum, ketua kampung dan tuai rumah, malah ada juga yang dilantik menjadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bukan itu sahaja, ada juga dalam kalangan veteran tentera menjadi wakil rakyat seperti Datuk Ranum Mina (Ahli Dewan Undangan Negeri Opar),” katanya pada majlis Makan Malam Amal Jasamu Ku Kenang sempena pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2019, Peringkat Kuching, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol,

Majlis itu dianjurkan bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuching, Cawangan Batu Kawa dan Cawangan Tupong bagi mengutip sumbangan untuk menjalankan aktiviti khususnya membantu ahli yang memerlukan.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai khususnya syarikat swasta dan orang perseorangan supaya tampil menghulurkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan.

“Tanpa pengorbanan anggota tentera, sudah pasti keadaan negara bahkan negeri ini mungkin jauh berbeza seperti yang kita kecapi sekarang.

“Oleh itu, marilah kita memberi penghargaan kepada jasa dan pengorbanan yang telah diberi oleh anggota tentera kita,” katanya.

Abang Johari menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada setiap tiga cawangan PVATM iaitu cawangan Kuching, Batu Kawa dan Tupong yang menganjurkan majlis itu.

Sementara itu, Abdullah dan Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS), masing-masing, menyumbang RM10,000 kepada Tabung Pahlawan.

Berita Harian X