Ahad, 4 Ogos 2019 | 5:21pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyempurnakan upacara Flag Off Fun Ride di Majlis Perasmian Program FitMalaysia Edisi Sabah 2019 di Padang Perbandaran Tawau. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

FitMalaysia Edisi Sabah 2019 capai sasaran

TAWAU: Penganjuran program FitMalaysia Edisi Sabah 2019 mencapai sasaran apabila berjaya menghimpunkan lebih 20,000 peserta, sekali gus memperkukuh perpaduan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti sukan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata program itu juga menjadi landasan terbaik ke arah mewujudkan gelombang kecergasan, sekali gus melahirkan komuniti yang sihat.

“Saya amat gembira melihat kehadiran begitu ramai orang daripada semua peringkat umur yang berbilang bangsa dan agama.

“Program ini boleh dijadikan landasan menghimpun seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kita perlu memperbanyakkan penganjuran program seumpama ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan FitMalaysia Edisi Sabah 2019 di Padang Perbandaran Tawau, di sini, hari ini.


Sebahagian peserta yang hadir pada Program FitMalaysia Edisi Sabah 2019 di Padang Perbandaran Tawau. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Timbalannya, Steven Sim Chee Keong; serta Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhee.

Program dua hari bermula semalam itu dimeriahkan pelbagai aktiviti utama seperti Fun Ride sejauh 10 dan 20 kilometer (km); Fun Run (5km) dan Family Fun Walk (3km) yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Sementara itu, Syed Saddiq pula berkata, kejayaan penganjuran program FitMalaysia Edisi Sabah 2019 boleh dijadikan contoh secara keseluruhan.

“Saya mendapati pada program ini di Sabah, semua pihak tanpa mengira usia meliputi golongan belia dan anak muda, daripada pelbagai kaum serta agama hadir dan disatukan menerusi sukan.

“Saya berharap budaya ini dengan sikap cintakan negara melalui sukan, dapat diterapkan dalam hati seluruh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, kementeriannya bersedia menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan negeri bagi membantu serta merancang penganjuran lebih banyak program sedemikian pada masa depan.

Berita Harian X