Isnin, 5 Ogos 2019 | 7:28am
PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim. - Foto Rozainah Zakaria

MPKK tiada kuasa sekat permohonan bantuan JKM

KUALA TERENGGANU: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tidak ada kuasa untuk menyekat permohonan penduduk mendapatkan bantuan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebaliknya, setiap permohonan untuk mendapatkan bantuan am secara bulanan akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Penimbang Kebajikan yang diadakan setiap bulan di peringkat daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata jawatankuasa MPKK hanya berperanan mengesahkan borang permohonan dan JKM akan menyiasat bagi menentukan kelayakan pemohon sebelum dibawa ke Jawatankuasa Penimbang Kebajikan.

Beliau berkata, berdasarkan penelitian dalam tempoh lebih setahun pemerintahan kerajaan negeri, tiada seorang pun penerima dipotong atau disekat bantuan kecuali selepas siasatan dilakukan mendapati penerima meninggal dunia.

“Pada tahun lalu, seramai 21,484 penduduk miskin di seluruh negeri menerima bantuan JKM membabitkan peruntukan sebanyak RM52.6 juta berbanding hanya 20,408 penerima membabitkan perbelanjaan sebanyak RM50 juta pada 2017.

“Sehingga Jun lalu, Jawatankuasa Penimbang Kebajikan sudah meluluskan 2,713 permohonan membabitkan peruntukan sebanyak RM4.4 juta,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penimbang Kebajikan Setiu mengulas dakwaan MPKK memainkan peranan menyekat borang permohonan penduduk untuk mendapatkan bantuan kebajikan JKM.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, setiap bulan jumlah pemohon yang mengemukakan borang permohonan dan disahkan layak oleh MPKK untuk mendapatkan bantuan JKM bertambah.

Katanya, individu yang mendakwa ramai penerima bantuan JKM disekat diminta mengemukakan maklumat lengkap berkaitannya kepada kerajaan negeri bagi memudahkan permohonan disemak semula.

“Untuk menjernihkan keadaan seperti didakwa, saya minta individu berkenaan mengemukakan maklumat termasuk senarai nama pemohon yang ditolak kepada kami bagi memudahkan Jawatankuasa Penimbang Kebajikan melakukan semakan untuk penyelesaian.

“Kerajaan negeri komited untuk menjaga dan memastikan kebajikan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan terjamin,” katanya.

Berita Harian X