Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:29pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyerahkan surat kelulusan tanah kepada Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Haji Sahat Bagol di Majlis Makan Tahun Perdana di Kampung Bukit Luba, Limbang. - Foto ihsan pejabat Timbalan Ketua Menteri
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyerahkan surat kelulusan tanah kepada Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Haji Sahat Bagol di Majlis Makan Tahun Perdana di Kampung Bukit Luba, Limbang. - Foto ihsan pejabat Timbalan Ketua Menteri

NRDA pacu pembangunan Limbang, Lawas

LIMBANG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi penekanan khusus kepada semua agensi pembangunan dalam Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) untuk melaksanakan segera projek pembangunan yang diperlukan rakyat.

Selain menyediakan kemudahan infrastruktur, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata banyak lagi yang perlu dilaksanakan agensi pelaksana di bawah RECODA itu, termasuk Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk memacu pembanguan negeri.

Beliau berkata, NRDA yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan pembangunan di kawasan Limbang dan Lawas, kini memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi, sektor pelancongan dan pembangunan usahawan.

Katanya, kerja menaik taraf sekolah usang turut diberi penekanan NRDA bagi memastikan anak-anak penduduk di kawasan utara Sarawak mendapat pendidikan yang sempurna.

“NRDA diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg untuk memajukan kawasan utara ini bagi mengimbangi pembangunan serantau.

“Kita memberi jaminan bahawa peruntukan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan penduduk di kawasan utara Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi NRDA berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Makan Tahun Perdana 2019 anjuran Persatuan Kedayan Limbang, di sini, semalam.

Turut hadir isteri beliau, Datuk Dayang Morliah Awang Daud; Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibolah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang; Residen Limbang, Ahmad Dennis Ahmad Fauzi dan Pegawai Daerah Limbang, Superi Awang Said.

Awang Tengah berkata, rakyat Sarawak khususnya di utara negeri ini harus menghargai semangat harmoni dan perpaduan dan menolak pihak luar yang mempunyai agenda politik yang boleh menjejaskan perancangan kerajaan membangunkan negeri ini.

“Kita mesti menjaga kekuatan dan perpaduan dalam kepelbagaian kaum di negeri ini kerana hanya parti yang berpangkalan di Sarawak dan pemimpin mereka yang sentiasa berada di sini akan terus berjuang untuk kepentingan kedua-dua kumpulan majoriti dan minoriti di negeri ini,” katanya.

Berita Harian X