Isnin, 5 Ogos 2019 | 6:56pm
ABDULLAH Idris ketika ditemui di kandang lembunya di Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar

Permintaan lembu merosot

ALOR GAJAH: Penternak lembu kecil-kecilan mengeluh berikutan kemerosotan permintaan haiwan itu berbanding tahun lalu, menjelang sambutan Aidiladha yang dijangka Ahad ini.

Tinjauan BH di beberapa kandang lembu di sekitar Masjid Tanah, di sini, hari ini mendapati kebanyakan penternak mengakui tempahan lembu khusus bagi ibadah korban berkurangan.

Mohd Raja Sainal, 44, berkata lapan ekor lembu ternakannya ditempah bagi persediaan sambutan ibadah korban pada Ahad ini, berbanding 13 ekor pada tahun lalu.

“Faktor ekonomi semasa mungkin menjadi sebab kurangnya tempahan lembu, malah bukan saya saja yang hadapi keadaan ini, penternak lain di sekitar Masjid Tanah turut menghadapi masalah sama.

“Tahun lalu saya menerima tempahan 13 ekor lembu berharga antara RM4,300 hingga RM4,800 seekor bagi korban berkelompok manakala tempahan individu berharga lebih RM5,000,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah, dekat sini.

Abdullah Idris, 69, berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang tempahan lembu berbanding berjaya menjual empat ekor lembu pada tahun lalu.

“Saya ada 20 ekor lembu sekarang tetapi yang layak untuk dijadikan korban hanyalah lima ekor, namun setakat ini saya belum menerima apa-apa tempahan.

“Kemungkinan besar tidak ramai orang mahu berkorban tahun ini kerana faktor kewangan, di mana mungkin ada keperluan lain yang lebih penting,” katanya.

Abdullah bagaimanapun tetap yakin rezeki Allah SWT yang luas, sekali gus mampu menjual lembunya untuk dijadikan sebagai haiwan sembelihan menjelang fajar 10 Zulhijjah kelak.

Berita Harian X