Rabu, 7 Ogos 2019 | 4:31pm
Pengerusi Jawatanuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim. - Foto Rozainah Zakaria

Syor timbang semula TSSPK

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan semula cadangan untuk menamatkan bantuan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), bagi memastikan penanaman komoditi itu tidak lumpuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata cadangan pembatalan TSSPK itu sudah pastinya akan memberi kesan termasuk menjejaskan pendapatan dan sosioekonomi pekebun kecil.

Katanya, di negeri ini, kira-kira 7,000 pekebun kecil akan terjejas sekiranya kerajaan menamatkan bantuan TSSPK yang sebelum ini disediakan sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar.

“Kebanyakan pekebun kecil yang mengusahakan penanaman kelapa sawit adalah Bumiputera, masyarakat Orang Asli termasuk peribumi di Sabah dan Sarawak serta masyarakat Cina dan India yang berpendapatan rendah.

“Sekiranya kerajaan menamatkan bantuan TSSPK, ia hanya memberi kelebihan kepada syarikat perladangan besar berikutan mempunyai kemampuan modal yang kukuh,” katanya.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan kembali skim bantuan penanaman semula kelapa sawit kepada pekebun kecil yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Teresa dilaporkan berkata demikian pada taklimat pensijilan Sijil Mampan Malaysia (MSPO) di Dewan Akademik Usahawan Tani Kampung Awah, Kuantan, Isnin lalu.

Dr Azman berkata, peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun kecil sawit iaitu RM7,000 bagi setiap hektar adalah bertujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya melakukan penambahbaikan terhadap dasar yang baik untuk rakyat kerana majoriti pekebun kecil tidak mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula.

Berita Harian X