Rabu, 7 Ogos 2019 | 5:31pm
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew (kanan) membincangkan sesuatu dengan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony (dua, kiri), Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick (kiri) dan Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua (dua, kanan) sebelum memulakan persidangan Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas Penggal Kedua di bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. - Foto BERNAMA

Kemuka cadangan naik jumlah peruntukan ADUN

KOTA KINABALU: Cadangan menaikkan jumlah peruntukan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah akan dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk dipertimbangkan.

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata kenaikan itu perlu bersandarkan kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan negeri.

“Secara peribadi saya bersetuju dengan cadangan menaikkan jumlah peruntukan itu. Malah, syor ini juga sudah dibincangkan di peringkat kementerian saya sebagai input kepada penyediaan Belanjawan Negeri yang akan datang.

“Seterusnya, syor ini akan dikemukakan Ketua Menteri selaku Menteri Kewangan dan saya yakin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertimbangkannya berdasarkan kedudukan semasa kewangan kerajaan negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hamisa Samat (WARISAN - Tanjung Batu) mengenai kemungkinan kerajaan negeri bercadang menaikkan jumlah peruntukan ADUN pada tahun akan datang.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof, berkata bagi mengurangkan penggantungan pekebun kecil kepada hasil sawit sebagai sumber pendapatan, Kementerian Industri Utama (MPI) mencadangkan penanaman integrasi ternakan dengan sawit di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11).

“Ia bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber secara optimum.

“Strategi memaksimumkan penggunaan tanah ini dapat menjana pendapatan awal yang lumayan kepada pekebun kecil jika dilaksanakan secara sistematik,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Rahman Kongkawang (PBS - Labuk) berhubung langkah kerajaan dalam membantu pekebun kecil.

Berita Harian X