Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:06pm
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) melihat lembu bertemu selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban, di Kampung Pulau Kerengga, Marang. - Foto Ghazali Kori

Jangan jual lembu sakit untuk ibadah korban

MARANG: Kerajaan Terengganu mengingatkan penternak lembu di negeri ini agar memastikan ternakan mereka yang mahu dijual sempena Aidiladha menepati piawaian kesihatan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, berkata pihaknya berharap penternak sentiasa peka dalam memastikan ternakan mereka dalam keadaan sihat dan tidak bermasalah supaya objektif korban yang bakal dilaksanakan menepati kehendak Islam.

“Harus dipastikan semua lembu dijual bebas daripada sebarang penyakit dan menepati syarat ditetapkan supaya ia tidak mengundang masalah kepada penerima daging korban nanti.

“Kita percaya semua pihak mengambil perhatian perkara itu, malah penelitian dijalankan dalam segala aspek supaya ternakan dalam keadaan baik sebelum dikorbankan. Jika ternakan tidak berada dalam keadaan baik, ia perlu dikecualikan daripada ibadah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Bersempena Aidiladha 2019 di Kampung Pulau Kerengga, di sini hari ini.

Pada majlis itu, 22 lembu kampung Kedah Kelantan (KK) diserahkan Kerajaan Terengganu kepada wakil penduduk di Kampung Pulau Kerengga.

Mengenai kebimbangan penduduk berhubung wabak virus ’canine distemper’ yang tular selepas dijangkiti harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi pada 19 Julai lalu, Ahmad Shamsuri berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia hanya menjangkiti haiwan liar.

“Saya dimaklumkan penyakit itu hanya menjangkiti hidupan liar. Ternakan seperti lembu yang jauh daripada hutan tidak terlalu terdedah dengan ancaman penyakit berkenaan.

“Namun, paling penting untuk penternak prihatin dalam memastikan kes lembu berpenyakit dan tidak memenuhi syarat korban tidak dijual kepada orang ramai. Perbuatan menjual lembu yang bermasalah atau berpenyakit tidak patut berlaku, malah penternak diingatkan agar tidak mengambil kesempatan,” katanya.

Berita Harian X