Khamis, 8 Ogos 2019 | 12:07pm
KETUA Menteri, Adly Zahari berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Ketua Menteri dan Pelancaran #Ini Rumah Kita, di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Melaka, UTM teroka kerjasama hasil baja kompos dari sisa makanan

AYER KEROH: Melaka mahu meneroka kerjasama pintar dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi merintis kaedah pengurusan lebihan sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata kaedah itu berupaya membantu kerajaan negeri menjimatkan RM24 juta daripada keseluruhan RM60 juta setahun yang dibelanjakan bagi menampung kos pengurusan sisa pepejal dengan menukarkan sisa makanan kepada baja kompos.

Beliau berkata, usaha itu sebelum ini sudah dimulakan di peringkat negeri, termasuk program pengumpulan sisa makanan oleh SWM Environment untuk dijadikan baja kompos, sekali gus akan diperluaskan ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kepakaran UTM terbukti apabila ia dapat memproses sisa makanan menjadi baja kompos dalam masa sehari, berbanding kaedah konvensional baja kompos dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.

“Justeru, kita akan memaksimumkan penggunaan kaedah ini (program penghasilan baja kompos) supaya kerajaan negeri tidak berbelanja banyak bagi menguruskan sisa pepejal,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Pelancaran Kempen #IniRumahKita di Seri Negeri, di sini hari ini.

Adly ketika mengulas lanjut, berkata DUN Bukit Katil juga akan menjadi projek perintis bagi program baja kompos itu melalui gerak kerja di setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebelum diperlukan ke setiap DUN menjelang akhir tahun.

Mengenai kempen #IniRumahKita yang dicetuskan kerajaan negeri, Adly berkata, ia sebahagian daripada usaha menyedarkan rakyat bahawa negeri ini sebahagian daripada tempat kediaman yang perlu dijaga kebersihannya sama seperti menjaga rumah sendiri.

“Kadang-kadang kita melihat fokus kebersihan kepada rumah yang kita duduki sahaja tetapi tidak kepada negeri. Jadi, kesedaran ini perlu kita tingkatkan demi menjamin tahap kebersihan Melaka untuk jangka masa panjang,” katanya.

Melalui inisiatif itu juga, katanya, ia bukan sahaja akan memberi kesedaran dalam bentuk pendidikan atau kefahaman kepada masyarakat tetapi turut membudayakan kebersihan dalam kalangan generasi masa kini.

“Jadi, memang banyak inisiatif yang harus kita berikan keutamaan tetapi kesedaran ini perlu disokong oleh semua pihak sama ada melalui kerajaan negeri, rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan sebagainya demi menjayakan kempen kebersihan ini,” katanya.

Berita Harian X