Khamis, 8 Ogos 2019 | 2:30pm
Keadaan rumah milik Henry John (gambar kecil), terjejas teruk pada bahagian ruang tamu, dapur dan bilik apabila sebahagian zink diterbangkan angin dalam kejadian ribut awal pagi di Kampung Petagas, Putatan. - Foto Norasikin Daineh
Keadaan rumah milik Henry John (gambar kecil), terjejas teruk pada bahagian ruang tamu, dapur dan bilik apabila sebahagian zink diterbangkan angin dalam kejadian ribut awal pagi di Kampung Petagas, Putatan. - Foto Norasikin Daineh

Bumbung tercabut akibat ribut

PUTATAN: “Mulanya terasa seperti gegaran dan saya menyangka gempa bumi, tetapi rupa-rupanya lebih daripada separuh bumbung rumah saya diterbangkan ribut,” kata Henry John, 45, salah seorang penghuni rumah yang terjejas akibat ribut awal pagi tadi di Kampung Petagas, di sini.

Henry berkata, dia hanya menyedari kejadian berkenaan pada jam 3.55 pagi dan ketika itu memang berlaku angin kuat disusuli hujan lebat sehingga jam 4 pagi.

“Ketika kejadian, keluarga kami sedang tidur tetapi terbangun apabila terdengar bunyi angin kuat. Malah, isteri dan tiga anak kami turut ketakutan apabila angin menderu disusuli hujan lebat.

“Separuh daripada ruang tamu dan bilik habis rosak apabila lebih 30 keping zink termasuk rangka kayu bumbung diterbangkan angin,” katanya.

Henry berkata, rumah mereka kini terjejas teruk dan terpaksa mencari semula zink yang masih boleh digunakan untuk sementara waktu.

“Kalau tidak dibaiki, malam ini kami tidak dapat bermalam di rumah kerana sebahagian besar bumbung rumah rosak teruk terutamanya di bahagian bilik. Saya terpaksa mencari semula zink dan kayu yang boleh digunakan untuk baiki sementara waktu bumbung yang rosak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azmi Drah, 41, berkata ketika kejadian dia bersama bapanya berada di rumah, namun menyedari berlaku ribut sebelum bumbung mereka diterbangkan.

“Ketika itu, saya sedang tidur di bilik dan terdengar bunyi zink tercabut. Sebaik saya bangun, didapati rumah kami, terutama di bahagian dapur basah akibat hujan lebat dan dalam keadaan tiada bumbung,” katanya.

Azmi berkata, disebabkan kejadian itu dia bersama adiknya serta penduduk kampung bergotong royong membaiki bumbung rumah mereka hari ini juga.

“Kerja membaik pulih dilakukan seawal jam 9 pagi tadi selepas adik saya membeli beberapa barang termasuk zink untuk membuat bumbung rumah yang baharu,” katanya.

Terdahulu, sebanyak tiga rumah di kawasan berkenaan terjejas akibat ribut dan hujan lebat yang berlaku awal pagi tadi.

Berita Harian X