Khamis, 8 Ogos 2019 | 3:51pm
Lembu baka blonde seberat lebih 800 kilogram (kg) di Kampung Laut yang akan dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Lembu baka Blonde lebih 800kg korban Aidiladha

KUALA TERENGGANU: Seekor lembu baka Blonde seberat lebih 800 kilogram (kg) ialah antara lembu terbesar yang akan dikorbankan di Terengganu sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Lembu berusia empat tahun dipanggil ‘Badok’ itu dianggarkan bernilai RM15,000 hasil ternakan Mohd Amirul Mukminin Sulaiman, 35, di Kampung Laut, di sini.

Mohd Amirul Mukminin berkata, beliau mengambil keputusan menjadikan ternakan kesayangannya itu haiwan korban bersesuaian konsep pengorbanan.

“Memang saya sayang Badok kerana menjaganya sejak kecil. Namun, tidak dinamakan berkorban jika kita tidak memberikan ternakan terbaik dan paling disayangi untuk menjalankan ibadat itu.

“Malah, Badok membanggakan saya apabila sering berada pada kedudukan lima terbaik dalam pertandingan lembu sado di negeri ini,” katanya ketika ditemui di rumah beliau, hari ini.

Mohd Amirul Mukminin berkata, beliau membuka tawaran menyembelih lembu itu sebagai ternakan korban pada awal bulan lalu melalui kenalan dan media sosial.

“Tujuh bahagian ditawarkan pada harga RM2,000 setiap satu itu sudah ditempah penduduk dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Pada kebiasaan, sebanyak 50kg boleh diperoleh bagi satu bahagian lembu baka berbanding lembu biasa hanya 18 hingga 20kg,” katanya yang memiliki 10 lembu pelbagai baka, termasuk Limosin dan Charolais.

Mohd Amirul Mukminin berkata, Badok pernah menarik minat seorang penternak yang menawarkan harga RM12,000, namun beliau enggan menjualnya kerana mahu menjadikan lembu itu haiwan korban.

“Sebelum ini, hanya lembu biasa dijadikan ternakan korban. Bagaimanapun pada tahun ini, saya ingin membuat kelainan dan menggalakkan lebih ramai penternak juga melakukan sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman, memuji penternak menyediakan lembu atau kambing yang sihat dan gemuk untuk dikorbankan.

“Masih ramai masyarakat yang terlalu berkira apabila menjalankan ibadat korban. Mereka ingin berkorban tetapi memilih ternakan tidak berzat dan kurus kerana mahukan harga murah.

“Jika kita tidak mampu, jangan paksa diri untuk menjalankan ibadat itu. Pilihlah ternakan terbaik yang menepati ciri dianjurkan Islam.

“Daging korban itu akan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan dan memerlukan, justeru pastikan ia daripada sumber terbaik menepati konsep pengorbanan,” katanya.

Berita Harian X