Ahad, 11 Ogos 2019 | 1:48pm
MENTERI Pelancongan Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pelancong ke Lahad Datu lebih selesa selepas lapangan terbang dinaiktaraf

LAHAD DATU: Pelancong dalam dan luar negara yang mahu berkunjung ke pantai timur Sabah selepas ini akan lebih selesa apabila Lapangan Terbang Lahad Datu siap dinaiktaraf.

Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata perbincangan lanjut untuk bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk menaiktaraf lapangan terbang itu sudah dibuat pada minggu lalu.

Beliau berkata pertemuannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin itu adalah pertemuan kali kedua bagi membincangkan pelan pembangunan lapangan terbang terbabit.

“Saya sudah mengadakan pertemuan bersama MAHB bagi kali kedua untuk berbincang lanjut mengenai pembangunan Lapangan Terbang Lahad Datu.

“Pada perbincangan itu kami turut mengenalpasti kriteria baharu lapangan terbang bagi membolehkan tidak hanya pesawat ringan dan kecil malah kapal terbang bersaiz besar iaitu Boeing.

“Lebih penting, penduduk di Lahad Datu perlu berbangga kerana tidak lama lagi daerah akan ini bakal memiliki sebuah lapangan terbang antarabangsa,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Nurul Ulum, Kampung Segama Batu 8, hari ini.

Menyentuh mengenai Pelan Pembangunan Pelancongan Lahad Datu, Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam, berkata pelan itu akan disiapkan secara komprehensif membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lahad Datu, Kunak dan Tungku.

”Di Parlimen Silam ini memiliki banyak produk pelancongan dan perancangan ini penting untuk disegerakan pelaksanaannya nanti.

“Antara yang akan dibangunkan nanti adalah berkaitan pembangunan hotel bagi menampung kemasukan pelancong di pantai timur Sabah.

“Hotel ini penting, terutama apabila lapangan terbang antarabangsa Lahad Datu itu nanti siap, katanya.

Beliau yakin dengan dua inisiatif baharu itu bukan saja menaikkan nama daerah itu malah menjanjikan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi menerusi sektor pelancongan.

“Dengan terlaksananya kedua-dua inisiatif itu akan menyaksikan peningkatan peluang pekerjaan sehingga 30 peratus di daerah ini.

“Inisiatif itu juga akan menyaksikan limpahan ekonomi (khususnya menerusi pelancongan) di pantai timur Sabah, terutama di Lahad Datu,” katanya.

Berita Harian X