Ahad, 11 Ogos 2019 | 3:34pm
EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh. NSTP/Danial Saad

Kerajaan Pulau Pinang sedia tabung bantu mangsa ribut

GEORGETOWN: Lebih 500 kediaman rosak di Pulau Pinang akibat ribut susulan Taufan Lekima pada Jumaat lalu, akan menerima bantuan menerusi Tabung Yang Dipertua Negeri (TYT).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata pemberian bantuan itu akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Unit Bencana kerajaan negeri.

“Pemilik kediaman terjejas perlu membuat laporan polis dan merakam kerosakan yang berlaku sebagai bukti.

“Selepas itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ketua di setiap kawasan terbabit akan datang memberi bantuan menerusi Tabung TYT.

“Jumlah bantuan akan diberikan adalah kira-kira 10 peratus daripada nilai kerosakan dengan terhad kepada RM5,000 untuk satu kediaman,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Boon Poh berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat bagi mengetahui jumlah sebenar mangsa dan nilai kerosakan akibat ribut berkenaan.

Katanya, jumlah sebenar kerosakan dialami setakat ini dianggarkan melebihi 500 kediaman dan pengumpulan data daripada setiap daerah sedang dilaksanakan.

“Kita masih kumpul maklumat, tetapi saya jangka lebih 500 rumah rosak akibat ribut itu,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan ribut yang melanda beberapa negeri di kawasan utara Semenanjung berpunca daripada Taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

Kejadian kira kira jam 8 malam Jumaat itu mencatatkan kelajuan ribut kira-kira 28 meter per saat bersamaan 100.8 kilometer sejam.

Berita Harian X